Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Wahai Muhammad, ingatlah ketika datang pertolongan Allah dan kemenangan bagimu. Engkau menyaksikan manusia masuk Islam berbondong-bondong. Wahai Muhammad, karena itu bertasbihlah kamu untuk menyatakan syukur kepada Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sungguh Tuhanmu sangat lapang dalam memberikan ampunan kepadamu.” (An Nashr, 110: 1-3)

KAWE_KAWE AMBO

Monday 22 August 2011

SEORANG TUA DIKAKI GUNUNG-TRIBUTE UNTUK ALLAHYARHAM AZIZI HJ.ABDULLAH...

SEORANG TUA DIKAKI GUNUNG,sebuah karya Allahyarham Azizi Hj.Abdullah,aku mula mengenali karya Allahyarham semasa aku di tingkatan 5,bila buku karya Allahyarham dijadikan bahan bacaan dalam mata pelajaran sastera,kisah ini sungguh menyayat hati untuk dibaca,secara kasarnya bolehlah aku katakan
kisah ini menceritakan penderitaan seorang bapa yang dipanggil Tukya,segala penderitaannya untuk membesarkan anak-anaknya tapi tidak pernah dirasai atau disanjung oleh anak-anak dan cucunya,malah lebih menyedihkan anak-anak cucunya sendiri diasuh supaya membenci cara penghidupan Tukya di kampong yang serba kekurangan.

Dalam dok cari-cari bahan untuk menulis terjumpa aku satu klip video drama Seorang Tua Di Kaki Gunung  kat FB kat sini korang boleh tonton drama tersebut,walaupun pendek tapi rasanya cukup berbaloi.

SERBA-SEDIKIT TENTANG ALLAHYARHAM DAN KEJAYAANNYA

;Aku mungkin antara yang ketinggalan kerana baru lebih kurang 3 minggu selesai mengkhatami novel Seorang Tua di Kaki Gunung karya penerima S.E.A Write Award 1988, Azizi Hj. Abdullah. Setelah selesai membaca novel satiranya, Kawin-Kawin dan membaca ulasan Faisal di Kaki Seni, aku terdorong untuk menjejaki semua karya-karya Azizi.

Seorang Tua di Kaki Gunung telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II [1981]. Novel terbaru Azizi, satira Kawin-Kawin telah berjaya merangkul tempat pertama Hadiah Sako setelah menduduki tempat ketiga dengan novel Wi & William sebelumnya, yang pada masa itu dimenangi oleh novel Imam karya SN. Abdullah Hussain.


SEKALUNG DOA DAN AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM,JASA DAN KARYANYA SENTIASA KEKAL DALAM INGATAN PEMINAT SASTERA

AZIZI HJ.ABDULLAH (Hj. Azizi bin Hj. Abdullah) dilahirkan di Kampung Bukit Meryam, Kota Kuala Muda Kedah, pada 4 April 1942. Mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan Sekolah Melayu Kota Kuala Muda, Kedah sehingga darjah enam. Kemudian belajar di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah,Kepala Batas Seberang Perai. Azizi mula menulis ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 60-an.



Tidak perlu diperkenalkan lagi Azizi Hj. Abdullah dalam jagat sastera Melayu. Di samping begitu prolifik menghasilkan cerpen dan novel, beliau juga terlibat dengan penulisan rencana, drama radio dan TV dan menjadi kolumnis di beberapa buah majalah dan akhbar. Dengan sensitivitinya terhadap masalah sosial dan kecenderungan bahasa yang kadang meledakkan emosi, yang kadang membuatkan pembaca tidak kering gusi, Azizi Hj. Abdullah berpeluang besar menjadi calon Sasterawan Negara akan datang.

Membaca novel ini seperti sama-sama mendorong diri ke alam semula jadi, dengan estetika ilmu kehutanan yang begitu memegunkan. Pembaca akan menjadi akrab dengan watak Tukya sekaligus akan mencintai kehidupannya di kaki Gunung Bongsu.

Novel ini memperlihatkan ketegasan pendirian golongan tua terhadap corak kehidupan tradisi dengan pantang larang dan petua-petua yang sepatutnya dihormati oleh golongan muda. Usaha yang bersungguh-sungguh menggambarkan latar alam, melakar watak yang sarat dengan emosi seorang tua menggambarkan daya cipta dan kreativiti pengarang yang besar. Kegigihan seorang tua bernama Tukya dalam mempertahankan pendirian dan ledakan perasaannya merupakan lambang ketokohan yang wajar dihormati. Azizi telah berjaya melakar watak Tukya sebagai seorang legenda yang tidak akan dilupakan oleh pembacanya.


Tukya seorang tua yang tinggal di Kaki Gunung bongsu bersama isterinya, Besah mempunyai seorang anak yang bernama Fikri. Fikri telah berjaya dalam pelajaran dan tinggal di Kuala Lumpur. Hasil pernikahan Fikri dan Fatimah, Tukya memiliki dua orang cucu - Farid dan Lamin. Ditakdirkan, semangat dan jiwanya banyak tertumpah kepada Lamin.

Beberapa lapis cerita ini memperlihatkan bagaimana bersemangatnya Tukya untuk mencurahkan segala ilmu hutannya kepada Lamin, sehingga hampir maut disengat lebah rimba. Di sinilah pembaca akan dicurahkan dengan ilmu-ilmu hutan yang diajarkan Tukya melalui watak cucu kesayangannya itu.

Kedegilan dan ketegasan pendirian seorang tua begitu menyerlah apabila Tukya berhasrat membina sebuah rumah baru dengan menebang sebatang cengal sebesar dua setengah pemeluk apabila rumah lamanya yang sudah lama tersergam dan memberi jasa itu menjadi ejekan anak cucunya.

Yang menjadi perkara penting di sini ialah bagaimana kesedaran pengarang melihat kelompangan dalam susur galur kehidupan anak bangsanya. Kelompangan dalam kehidupan generasi muda atau golongan manusia akan datang. Kelompangan dan jurang generasi yang perlu ditampil-lapik melalui daya kepengarangan yang bersungguh dan begitu teliti. Adalah wajar apresiasi yang diberikan DBP kepada Azizi dengan menyenaraikan novel ini dalam himpunan novel-novel pilihan abad ke 20.
Novel ini begitu bermanfaat kepada generasi muda remaja supaya sentiasa mengingati dan menghargai kehidupan zaman lampau. 
SUMBER DARI

LAGI TENTANG ALLAHYARHAM


Azizi Haji Abdullah pernah memakai nama pena seperti Anita, Ibnu Abdullah Alhaj, Jamong, Qalam Adly, Susilawati dan Tukya (protagonis novelnya Seorang Tua di Kaki Gunung). Beliau memperoleh pendidikan awal di Sekolah Melayu Bukit Meryam dan tamat darjah V. Kemudian beliau meneruskan pendidikan di bidang agama dari 1956-1965 di Sekolah Agama Kepala Batas, Seberang Perai. Kemudian beliau dilantik sebagai ustaz atau guru agama. Sebagai pendidik beliau sempat bertugas di Sekolah Kebangsaan Ladang Dublin di Karangan dan di Sekolah Kebangsaan Tuanku Abdul Malik, Kulim.

Dalam penulisan fiksyen, cerpen pertama Azizi Haji Abdullah, tersiar dalam akhbar Warta Negara yang diterbitkan di Pulau Pinang. Sementara, novel pertamanya ialah Garis Lintang Anak Haram (1968).

Antara novel hasil ciptaan Azizi Haji Abdullah ialah Sami Mekong (1976), Bila Hujan Malam (1977), Tini (1977), Di Kolam Mulhamah (1978), Gadis Itu Bernama Ina(1978), Seorang Tua di Kaki Gunung(1981), Debu Takdir (1982), Ayahanda(1997), Dunia Bukan Syurga (1993), Wi dan William (1995) dan Atiek Putriba(1996).

Manakala cerpennya banyak terhimpun dalam antologi dengan pengarang lain, di samping kumpulan cerpen persendiriannya seperti Latiffah Rabbaniah (1976),Keakuan (1978), Pertiwi (1985), Mardudah(1987), Istiqamah (1988), dan Bibit Cinta(1989).

Beliau merupakan pengarang Malaysia pertama menerima Hadiah Karya Sastera (1971) dalam genre novel yang berjudulSenja Belum Berakhir. Novel keduanya ini, kemudiannya diadaptasikannya menjadi skrip drama TV dan disiarkan dalam siri Panggung RTM (1983).

Sesungguhnya Azizi Haji Abdullah merupakan antara pengarang Malaysia yang sentiasa ingin memajukan dirinya dalam dunia penulisan dan beliau pernah mengikuti kursus Penulisan Kreatif, di Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah menjadi Karyawan Tamu di DBP (1998-99).

Berkat kegigihannya, dan sumbangannya dalam ujana penulisan kreatif, beliau dianugerahkan bintang AMN 1974, menerima S.E.A. Write Award daripada kerajaan Thailand (1988).
 
SEMOGA ROHNYA DITEMPATKAN BERSAMA ORANG-ORANG YANG BERIMAN..AMIN...

2 comments:

Anonymous said...

Di Singapura buku Seorang Tua di Kaki Gunung di gunakan untuk mata pelajaran sastera pada tahun akhir 80an

Blogger said...

Terimakasih buat Bintangzohra,di Malaysia sama juga,ia dijadikan buku sastera pada tahun 1983 dan masa tu saya di Tingkatan 3...

Search This Blog

Archives

PING BUSUK

APESAL TENGOK JER...