KLANG: Sekumpulan tiga perompak bukan saja mendapat habuan wang tunai RM5,500, malah turut menyembunyikan jejak mereka apabila melarikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis yang disamun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata ketiga-tiga perompak yang bersenjatakan parang itu memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Botanic, di sini, awal pagi kelmarin.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang juga peniaga bersama isterinya, seorang anak lelaki dan pembantu rumah berada di rumah.
“Semua perompak menutup muka dengan kain serta bersarung tangan itu menyerbu masuk ke dalam rumah dan mengarahkan peniaga terbabit serta keluarganya masuk ke tandas.
“Mereka sekeluarga dan pembantu rumah dikurung dan dikunci dalam tandas sebelum ketiga-tiga perompak itu menggeledah rumah berkenaan.
“Perompak itu, bagaimanapun gagal menemui apa-apa dan membuka pintu tandas untuk mengugut mangsa sekeluarga menyerahkan wang dan barangan berharga,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga perompak itu mengambil rakaman CCTV di rumah mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta.
No comments:
Post a Comment