Seorang ibu mengeluh mengenangkan kelakuan buruk anaknya. Anak tersebut sangat suka mencuri. Habis semua barang milik teman-teman dicurinya. Ibu tersebut berkata “Entahlah, bagaimana saya harus menyelesaikan masalah ini. Hari-hari ada sahaja barang orang lain yang dicurinya semasa bersekolah. Hari ini pensil, esok pemadam…. Puas saya nasihat tidak juga berkesan. Sudah saya
ambil pensil dan pemadam pejabat saya bekerja, saya berikan kepadanya, tapi dia tetap mencuri juga.”
ambil pensil dan pemadam pejabat saya bekerja, saya berikan kepadanya, tapi dia tetap mencuri juga.”
Pasti anda tersenyum apabila mendengar cerita ibu ini. Umpama ibu ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Inilah perihal, ibu yang ‘mencuri’ harta pejabat, untuk menyelesaikan masalah anaknya yang ‘mencuri’.
Mungkin sesetengah pihak menganggap adalah tidak logik umtuk mengaitkan antara perlakuan seseorang dengan sumber rezeki yang dimakan, digunakan atau dimanfaatkannya
Mana rasionalnya mengaitkan perlakuan anak yang mencuri dengan ibu yang mencuri misalnya? Itu anggapan kebanyakkan kita yang hanya melihat secara tersurat. Tetapi itu berbeza dengan pandangan ulama-ulama islam khususnya para pendidik yang melihat secara tersirat – maksudnya selaras dengan pandangan syariat.
Mengikut para ulama terutamanya yang begitu mengambil berat soal sumber rezeki, perlakuan seseorang adalah ditentukan factor ibubapa, guru-guru, corak pendidikan yang diberi, persekitaran dan termasuk sumber rezeki yang membesarkannya. Ini bersandarkan firman Allah yang bermaksud :
“wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168)
Rasulullah menguatkan lagi hakikat ini menerusi sabdanya:
“sesungguhnya daging-daging yangdibesarkan dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya.” (Riwayat at-Tabrani)
Menghayati hakikat inilah yang menyebabkan Saidina Abu Bakar pernah memuntahkan semula susu yang diminumnya apabila mengetahui sumber wang yang membeli susu tersebut hasil daripada bertenung nasib. Umar Ibn Aziz mengorek semula epal sedekah untuk rakyat yang sedang dikunyah oleh anaknya. Begitu ayah kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang rela menghambakan diri kepada tuan punya lading apabila dia termakan sebiji epal yang hanyut disungai dari lading tersebut. Imam Syafie pernah berhenti memakan kambing apabila didapati ada kambing zakat yang terlepas lalu bercampur gaul dengan kambing-kambing biasa.
Timbul persoalan, apakah kita mematuhi syariat disebabkan factor iman atau hanya factor adat semata-mata? Mungkin, kita menyebelih ayam hanya berasaskan adat kita makan ayam sejak nenek moyang dahulu lagi mesti sembelih. Lalu adat itu dipatuhi secara turun temurun menjadi budaya yang hilang makna dan falsafahnya.masyarakat kita sudah tidak tahu kenapa, mengapa dan kepada siapakah kita tujukan pematuhan syariat ini. Kalau kita sedar pematuhan syariat adalah berasaskan keimanan kepada Allah, maka kita akan memandang serius perbuatan mencuri ayam sama dengan memakan ayam yang tidak disembelih.
Jika dianggap dosa mencuri ayam itu lebih dari dosa makan ayam yang tidak disembelih, bagaimana pula dengan dosa ‘CURI TULANG’ (tenaga), curi masa dan berbagai-bagai lagi curi yang kita lakukan semasa kerja baik disektor swasta mahupun kerajaan. Termasuklah mat dispatch yang menghantar surat tapi melencong dulu minum-minum bersama teman-teman di kedai mamak. Begitu juga dengan pekerja-pekerja yang membuat kerja MLM (multi level marketing) dimasa pejabat. Atau pengarah yang melakukan rasuah dan pecah amanah semasa menjalankan pengurusan atau pentadbiran syarikat.
Ramai yang beranggapan bahawa selagi tidak ditangkap, dibuang kerja atau dihukum , semua perbuatan negative tersebut tidak menjadi masalah. Tetapi sedarkah kita, bahawa setiap perlakuan negative tersebut adalah HARAM dan berdosa. Kita mungkin terlepas di dunia, tapi kita tidak akan terlepas di akhirat kelak. Itu suatu yang pasti. Mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dan hak milik syarikat akan dihumban ke dalam neraka ALLAH AZZAWAJALLA. nauzubillah……
Begitu juga mereka yang terlibat dengan rompakan, ragut, mencuri, pecah amanah,riba, penzaliman dan penipuan. Mereka semua ini juga akan dihumban ke neraka ALLAH. nauzubillah….
Mereka yang benar-benar beriman kepada ALLAH sahaja yang menjaga setiap sumber rezeki dengan berhati-hati. Bimbang sekiranya rezeki yang diterimanya itu SYUBHAT apatah lagi HARAM.Bahkan bagi orang yang hampir dengan ALLAH yang halal itu pun masih ditapis, bimbang kalau-kalau terjebat dengan perbuatan yang membazir, menimbulkan fitnah atau perkara yang sia-sia. Ada sesetengah dari mereka sangat takut dengan kekayaan yang mereka perolehi hingga berkata : “Aku takut akan nikmat kekayaan di dunia ini kerana halalnya dihisab dan haramnya pula diazab”.
Perlu diingat, setiap kejahatan yang kita lakukan bukan sahaja dibalas ALLAH di akhirat, malah di dunia pun ada juga ALLAH membalasnya. Kerana setiap perbuatan haram kita akan member kesan kepada pembentukan peribadi kita, ahli keluarga bahkan generasi kita. Akibat dari sumber rezeki haram yang kita salurkan kepada anak isteri dan juga diri kita sendiri akan cenderung melakukan kejahatan. Si isteri mungkin akan berlaku curang, anak pula mungkin akan menjadi degil dan payah untuk dinasihat. Pendek kata, individu yang makan dari sumber yang haram sukar untuk melakukan kebaikan melainkan akan mudah melakukan kejahatan.
Sekiranya ibubapa menyedari akan hakikat ini, pasti dia akan berhati-hati dalam memberi rezeki untuk anak dan isterinya. Besar kemungkinan gejala sosial dikalangan remaja seperti dadah, zina, vandalisme, rempit, dan pendedahan aurat tidak timbul dan wujud.
Kalau begitu apa untungnya? Sumber rezeki yang haram bukan sahaja menyebabkan akan menghadapi seksaan di akhirat bahkan di dunia lagi sudah terasa bahangnya. Bukan sahaja seksa di penjara, didenda atau disebat oleh penguatkuasa undang-undang dunia ini, tetapi ‘seksaan dalaman’ yang berbentuk keresahan, kebimbangan, kemurungan, ketakutan dan lain-lain perasaan negatif akan menghantui sepanjang hidup.
Inilah yang dimaksudkan oleh Raasulullah s.a.w yang bermaksud : “Dosa itu adalah sesuatu yang meresahkan hatimu!” (riwayat Ahmad al-Darimi)
Dan apa gunanya pula harta yang bertimbun-timbun sekiranya isteri, anak-anak dan ahli keluarga kita menjadi jahat dan rosak akhlaknya?
Apakah perasuah rela mengadai akhlak anaknya hanya dengan ribuan ringgit malah jutaan ringgit yang diterimanya?
Atau pemakan riba sanggup mempertaruhkan kesetiaan isterinya dengan keuntungan yang berjuta-juta?
Pasti kita tidak rela semua ini terjadi kepada diri dan keluarga kita. Apa yang kita inginkan ialah anak dan isteri yang baik. Walau sejahat manapun kita, kita tetap ingin sebuah keluarga yang baik. Miskipun berlawanan dengan fitrah diri kita. Dan sedarlah bahawa orang yang melawan fitrah dirinya tidak akan bahagia dan tenang hidupnya. Bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi….
Perasuah, pencuri, pemakan riba dan golongan yang memakan dari sumber yang haram adalah pemusnah kehidupan dunia dan akhirat. Bukan kepada dirinya sahaja tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan juga kepada Negara. Orang yang berlaku zalim kepada orang lain, hakikatnya berlaku zalim kepada dirinya sendiri. Pada akhirnya tiada siapa yang menang. Ini kerana wujudnya manusia di atas muka bumi ini adalah wujud secara bersama. Maknanya, kebahagian dan ketenangan kita sangat berkait rapat dengan manusia lain.kita akan gembira dengan orang lain, kita juga akan menangis dengan orang lain.
Jadi kita jangan sesekali mengambil dan memakan dari sumber rezeki orang lain kerana mengambil hak orang lain adalah HARAM disisi ISLAM. Dan ingatlah, setiap perbutan jahat akan mendapat balasannya. Baik di dunia mahupun di akhirat. Wallahua'lam…
ARTIKEL PILIHAN:Dari blog syabulmusleem.blogspot.com
No comments:
Post a Comment