SEPANG: “Hanya wajah ibu, ayah dan adik beradik terbayang di kepala tatkala diacukan pistol di muka oleh seorang perusuh yang cuba menakut-nakutkan saya dan beberapa kawan lain,” kata Siti Nabilah Mohd Azaman, 20, yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, di sini, semalam.
Nabilah pelajar tahun pertama jurusan pergigian di Universiti Al-Azhar yang menaiki pesawat Etihad Airways dari Abu Dhabi tiba di KLIA kira-kira jam 3 petang. “Perusuh itu berbuat demikian kerana menyangka kami penyokong Hosni Mubarak walaupun ketika itu saya bersama tiga rakan hanya keluar rumah untuk membeli makanan. “Kami terpaksa menghadapi detik mencemaskan itu kira-kira 20 minit
dan menjelaskan kepada perusuh itu kami bukan rakyat Mesir serta merayu supaya tidak diapa-apakan sebelum dia melepaskan kami,” katanya. Menurutnya, dia bersyukur apabila perusuh itu menerima alasan mereka sebelum mengarahkan mereka pulang segera kerana keadaan tidak selamat dan berbahaya pada ketika itu.
“Kejadian ini berlaku pada waktu petang dan tidak ada sebarang aktiviti demonstrasi di jalan raya berbanding beberapa hari sebelum itu. “Kami bersyukur kerana tidak diapa-apakan dan terus pulang ke rumah serta tidak sempat hendak membeli makanan dan barangan keperluan lain,” katanya. Seorang lagi pelajar, Farid Hashim, 23, berkata, rumah sewa yang didudukinya bersama tiga rakan lain cuba dipecah masuk dua perusuh yang mahu menyelamatkan diri daripada ditahan polis yang berkawal di sekitar kawasan berhampiran.
“Kami sempat menyergah dan menakut-nakutkan dua perusuh yang cuba menceroboh rumah dan mereka terus melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kami.
“Saya berasa seperti di kawasan medan perang kerana di sekeliling jalan dan rumah dipenuhi dengan penunjuk perasaan yang meminta Perdana Menteri Mesir, Hosni Mubarak berundur,” katanya.
Farid yang juga pelajar tahun empat Universiti Iskandariah berkata, dia dapat melihat kereta kebal berhenti di depan rumah mereka bagi menghalang perusuh dan mengawal lalu lintas di kawasan itu.
“Memikirkan keadaan di sekitar rumah yang tidak lagi selamat, kami bercadang pulang ke Malaysia dan menempah tiket kapal terbang secara online dan menaikinya di Bahrain. “Kami bersyukur sepanjang perjalanan ke Bahrain, kami tidak mempunyai masalah cuma perlu menghadapi pemeriksaan dan ‘berkampung’ sehari di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain sebelum berlepas ke tanah air,” katanya.
No comments:
Post a Comment