SHAH ALAM – Dewan Ulama Pas akan meneliti penjelasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Mursyidul Am parti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan kontroversi berkenaan kepentingan Israel, yang disiarkan oleh Wall Street Journal bulan lalu.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, pihaknya belum mendapat maklumat mengenai perbincangan yang dijalankan dan akan membuat kenyataan sebaik sahaja mengetahui secara terperinci penjelasan Anwar.
“Saya belum dapat maklumat lagi mengenai perbincangan Anwar dan Nik Aziz. Saya juga tidak tahu apa yang mereka bincang. Insya-Allah, setelah dapat keterangan mengenai apa yang Anwar cakap itu, saya akan beri ulasan.
“Saya akan teliti dahulu apa yang dikatakan anwar kepada Nik Aziz,” katanya kepada Sinar Harian.
Anwar bertemu dengan Nik Abdul Aziz bagi menjelaskan pendiriannya di ibu negara, pagi semalam. Pertemuan itu berlangsung selama sejam.
Dalam reaksi awal, Anwar berkata, Nik Abdul Aziz menerima penjelasan beliau manakala Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun mesej dipaparkan pada laman sosial Facebooknya semalam, Nik Abdul Aziz juga berkata, Pas masih berpegang dengan pendirian asal tidak sama sekali akan mengiktiraf hak Israel.
Dalam kenyataan dikeluarkan 1 Februari lalu, Dewan Ulama Pas tidak bersetuju dengan kenyataan Anwar yang didakwa dilaporkan menyokong usaha melindungi keselamatan Israel.
Harun berkata, isu keselamatan Israel tidak sepatutnya ditimbulkan kerana menjadi keutamaan untuk mengembalikan hak dan kepentingan rakyat Palestin.
Katanya, rakyat Palestin telah lama tertindas di tanah air sendiri dan disebabkan keadaan itu, setiap rakyat negara ini perlu menyokong penuh perjuangan mereka.
“Saya tidak bersetuju dengan dia (Anwar) kerana mendahulukan soal keselamatan Israel. Isunya sekarang ialah penderitaan rakyat Palestin. Jika dia (Anwar) mendahulukan soal Palestin pasti saya bersetuju.
“Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin, kita wajib menyokongnya dengan harapan rakyat Palestin akhirnya dapat hidup di tanah air mereka sendiri dengan aman,” katanya.
No comments:
Post a Comment