ROMPIN: Seorang bapa nekad terjun ke dalam tangki najis semata-mata mahu menyelamatkan anaknya yang terjatuh.
Malangnya, usaha itu gagal apabila anaknya yang berusia tiga tahun disahkan meninggal dunia di dalam tangki berkenaan di Bangunan Arked Mara, Bandar Baru, Kuala Rompin, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa dikenali sebagai Mohd Izwan Jusoh, dari Endau, Mersing, Johor disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Sebelum kejadian, mangsa yang mengikut bapanya, Jusoh Muda, 50, berniaga di pasar malam, ditemani seorang lagi rakan sebaya bermain berhampiran tangki najis berkenaan.
Bagaimanapun, ketika leka bermain, mangsa tergelincir ketika memijak tangki itu yang hanya ditutup dengan papan sebelum terjatuh ke dalamnya.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian itu hanya disedari bapa mangsa selepas terdengar jeritan peniaga lain yang meminta pertolongan.
Menurutnya, pada masa sama, bapa mangsa yang berniaga pakaian di kawasan itu nekad terjun ke dalam tangki berkenaan selepas dimaklumkan anaknya terjatuh.
Katanya, siasatan mendapati, bapa mangsa mengambil masa kira-kira lima minit untuk mencari anaknya dengan meraba-raba di dalam tangki berkenaan.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, siasatan turut mendapati, tangki najis berkenaan hanya ditutup dengan papan selepas penutupnya hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.
Katanya, polis mengesahkan kejadian itu tidak mempunyai unsur jenayah dan mengklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Johari berkata, jenazah mangsa sudah dituntut dan dibawa pulang ahli keluarganya, malam kelmarin.
No comments:
Post a Comment