Syed Ismail menunjukkan antara barang yang dirampas daripada tujuh individu pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan membabitkan warga Afrika terus melakukan kegiatan haram menggunakan taktik terbaharu dengan mengaut keuntungan sebanyak RM243,000 selepas memperdaya 12 mangsa melalui kaedah ‘phishing’ dan ‘curi’ kad SIM telefon bimbit.
Sindiket yang dianggotai tujuh individu termasuk tiga wanita berusia di antara 20 dan 27 tahun itu didalangi oleh seorang pakar komputer dari Sierra Leone yang merupakan graduan Ijazah Sains Komputer.
‘Phishing’ ialah menggunakan alamat palsu ke laman utama sebuah bank.
Modus operandi suspek itu ialah menggodam maklumat pelanggan bank yang melakukan transaksi di kios-kios perbankan.
Difahamkan, sindiket hanya memerlukan sebatang pemacu pena untuk menyerap semua butiran transaksi pada komputer di kios berkenaan sebelum memindahkannya ke komputer peribadi suspek.
Suspek turut mencetak laporan polis dan salinan kad pengenalan palsu untuk dikemukakan kepada syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan kad SIM baharu.
Untuk memalsukan salinan kad pengenalan, suspek akan mengekalkan butiran peribadi mangsa tetapi gambarnya akan ditukar dengan gambar anggota sindiket.
Ia bertujuan untuk memudahkan rancangan mereka ketika pihak bank menghantar kod pengesahan transaksi (TAC) setiap kali mereka melakukan pemindahan wang dari akaun mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan ketika mendedahkan perkara ini berkata, sindiket bergiat di negara ini sejak awal tahun dan memilih kios bank yang kurang diawasi untuk mencuri data pelanggan.
Katanya, suspek dikesan menggunakan perisian khas yang dimuat turun dari Internet.
“Selepas mendapat segala data mangsa seperti nombor akaun, kata laluan dan butiran peribadi, suspek akan mencetak sendiri laporan polis dan salinan kad pengenalan untuk dikemukakan kepada syarikat telekomunikasi kononnya telefon bimbit mereka hilang atau disamun.
“Ia dilakukan kerana setiap transaksi memerlukan pengesahan termasuk mendapatkan TAC dari pihak bank yang dihantar melalui khidmat pesanan ringkas ke telefon bimbit mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya lagi, syarikat telekomunikasi kemudian akan membatalkan kad SIM lama dan menggantikannya dengan yang baharu dan menggunakan nombor yang sama.
Menurut Syed Azizan, sebelum itu, anggota sindiket akan menyamar sebagai kakitangan syarikat komunikasi untuk menghubungi mangsa dengan mengatakan perkhidmatan akan tergendala selama dua jam untuk kerja menaik taraf. Kesempatan itu akan digunakan untuk memindahkan wang mangsa ke akaun suspek.
“Dengan cara demikian, mangsa tidak akan mengetahui yang suspek sedang membuat transaksi menggunakan akaun mereka kerana TAC yang dihantar akan pergi ke telefon bimbit suspek,” katanya.
No comments:
Post a Comment