TIGA tahun lalu, kelibat Tok Beah masih boleh dilihat orang yang lalu lalang. Setiap pagi dan petang, di halaman rumah yang ditumpanginya sambil mencangkung dengan parang digenggamnya, Tok Beah memotong rumput, sesekali mencabut dengan tangan bagi mengisi hari sepinya.
Kini usahkan mencabut rumput, mencangkung pun tidak terdaya. Makin hari keadaan Tok Beah yang hidup sebatang kara ini semakin parah.Lalu sepanjang masa, Tok Beah atau nama sebenarnya Sabinah Yunos terlantar di tilam lusuh, mengharapkan ihsan orang lain menukar lampinnya.
Ketika Metro Ahad meluangkan masa bersama Tok Beah, sebaik pintu rumahnya di Kampung Lalang, Baling dibuka, sekujur tubuh cuma berkemban dengan kain batik itu berbaring secara mengiring di penjuru tingkap. Tiada respons diberi walau salam diajukan beberapa kali.
Sepatah kata Abdul Majid Mohd Zain, 50, tuan rumah yang menumpangkan Tok Beah sejak enam tahun lalu, pendengaran orang tua itu rosak.
Faktor usia Tok Beah yang mencecah 105 tahun mendedahkannya kepada pelbagai masalah kesihatan, namun bagi Majid, lebih membuatkan dia bersimpati pada Tok Beah bila mengenangkan suaminya meninggal dunia 40 tahun lalu, kemudian anak tunggalnya menyusul hujung 1970-an dulu.
“Perjalanan hidup Tok Beah sarat duka lara. Suaminya meninggal dunia di Makkah ketika menunaikan haji, sementara anak tunggal lelakinya meninggal sakit pada usia 30 tahun pada 1979. Tinggallah Tok Beah sebatang kara, setiap pagi dan petang, isteri saya akan menjengok Tok Beah.
“Isteri saya yang bertanggungjawab mengelap tubuh badan Tok Beah serta menukar lampinnya. Kami menjaga Tok Beah atas rasa perikemanusiaan, bersimpati pada nasibnya, apatah lagi kita ini saudara sesama Islam.
“Biarlah beliau habiskan sisa hidupnya di rumah yang dibuat khas untuknya di sini. Kami tidak menuntut apa-apa bayaran daripadanya, bahkan menganggap beliau sebahagian daripada keluarga kami,” katanya.
Tok Beah antara beberapa orang susah yang ditemui di Baling. Sejak remaja hinggalah ke usia emas begini, dia hanya memerah tulang empat kerat dengan menoreh untuk mencari sesuap nasi. Tiada hasil lain diperolehnya kecuali menoreh sama ada sewaktu menetap di Kampung 15, Ulu Legong, Kampung Becah Sawah sebelum menumpang di rumah Majid di Kampung Lalang, tujuh kilometer dari Ulu Legong.
“Tok Beah pernah bercerita sewaktu tinggal di kampung lamanya dulu, komunis lalu lalang. Hidup Tok Beah asyik dirundung malang, kerana selepas kematian suami dan anak, saya difahamkan dia dikurnia rumah Keda (Lembaga Kemajuan Wilayah Keda) tetapi diperdaya ahli keluarga lain.
“Ikutkan, saya pun bukan orang senang, tetapi biarlah Tok Beah kami jaga. Tidak tergamak rasanya melihat insan sebatang kara seperti Tok Beah tiba detik nyawanya dijemput Ilahi tersadai di kaki lima atau perhentian bas, nanti dikhuatiri jadi isu lain pula di Baling,” katanya.
Sementara itu isteri Majid, Siti Roziah Rejab ketika dihubungi berkata, Tok Beah tidak mahu ditempatkan ke pusat jagaan orang tua.
“Tok Beah lebih suka menatap bersama kami berbanding tinggal di rumah orang tua. Rutin saya menjaganya, sebelum tengah hari jenguk dia dan mandikannya serta menyuap makanan. Sebelum Maghrib sekali lagi saya jenguk dia, cuma kebelakangan ini menjelang tengah malam, dia berbunyi.
“Bergegas kami untuk melihat apa yang tidak kena. Biasanya di tengah malam dengan tingkap kaca terbuka, Tok Beah kesejukan,” katanya.
Sekalipun ada peralatan dapur ala kadar tetapi kata Roziah, sejak tiga tahun kebelakangan ini, Tok Beah tiada upaya untuk memasak.
“Makan minum Tok Beah kami yang uruskan. Dengan keadaannya yang tidak bermaya, kos hidup Tok Beah juga meningkat sehari ke sehari.
“Setiap hari lampin pakai buang Tok Beah terpaksa ditukar dua kali. Harga 10 lampin kira-kira RM15. Oleh kerana dia sentiasa baring mengiring, sebahagian tubuhnya melecet dan harga krim kira-kira RM20 cuma bertahan seminggu. Walaupun ada sumbangan daripada JKM, ia tidak mencukupi,” katanya.
Lima kilometer dari kediaman Tok Beah, pasangan daif suami isteri Yusuf Baharom, 73, dan Puteh Daud, 72, ditemui di Kampung Paya Siput. Kedua-duanya mencari makan dengan menoreh namun malang bagi Puteh, sejak suaminya lumpuh 11 tahun lalu hanya dia yang membanting tulang.
Yusuf yang berasal dari Merbok sedar, sebagai suami sememangnya dia serba salah melihat isterinya terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Namun apakan daya selain lumpuh, Yusuf yang menatap di Paya Siput sejak 40 tahun lalu buta mata kanannya.
“Mata kanan saya buta terkena serpihan mozek ketika menjadi buruh binaan di Singapura. Selama empat tahun dari 1983 hingga 1987, saya bekerja kontrak di sekitar Woodlands dan Bukit Merah. Sebaik mata kanan rosak, saya ambil keputusan balik ke kampung.
“Saya hanya boleh mencari makan dengan menoreh. Malang pula menimpa diri saya 11 tahun lalu, sewaktu pergi memotong, saya terjatuh dalam lubang getah lalu urat saya sakit hinggalah menjadi lumpuh seperti sekarang,” katanya.
Sementara Puteh yang berasal dari Beruas berkata, sekalipun mempunyai lima anak, itu tidak bermakna hidup mereka senang.
“Nasib anak saya juga seperti kami. Bagaimana mahu menolong kami jika mereka pun tiada gaji tetap,” katanya.
Bagi Puteh, hujan setiap hujung tahun sebenarnya bukan saja menambah lara hidup mereka, bahkan mengundang bahaya.
“Setiap kali hujan lebat, bagaimana saya mahu keluar menoreh. Jiran yang bersimpati pada kami menghulurkan beras untuk meneruskan hidup. Lebih membimbangkan saya, bukan saja hujan tetapi bila air naik lalu banjir. Pernah kami berdua tersadai lebih seminggu di rumah kerana banjir.
“Bagaimana kami hendak keluar dari rumah ini, bukannya ada sampan. Semuanya mengharapkan pertolongan orang. Malah, rumah kami pun menumpang di atas tanah rumah orang kerana rumah asal kami roboh. Rumah lama selalu ditimpa banjir, jadi ia mudah reput lalu runtuh,” katanya.
Berbanding Pak Yusuf dan isterinya Mak Puteh, nasib Tok Wan atau nama asalnya Abdullah Taib, 95, boleh dikatakan beruntung sedikit. Berasal dari Bana, Tok Wan anak ketiga daripada lima beradik, mendapat rumah baru pada 14 Januari 2011 selepas 50 tahun menginap di rumah usang.
Rumah lamanya di tebing sungai itu hanya menunggu masa untuk dihanyutkan air.
Fizikal Tok Wan yang tidak gagah lagi menyukarkannya bergerak ke hulu ke hilir tetapi istimewanya, pendengaran beliau masih jelas asalkan bercakap di telinganya. Tok Wan menetap bersama isterinya Siti Kiah Ahmad, 74.
“Syukur ada rumah baru, baru selesa sedikit,” katanya.
Berbanding anak muda Ulu Legong pada eranya yang hanya cari makan dengan menoreh getah, Tok Wan pula mengambil upah menebas. Dia bersama lapan anak muda di kampungnya antara yang dipertanggungjawab menebas hutan bagi membuat jalan ke Ulu Legong.
“Jalan nak masuk ke sini dulu kecil sangat, motosikal pun tiada. Awal 1980-an, jalan ke Ulu Legong masih tanah merah hinggalah pada 1983, seingat Tok Wan baru jalan masuk ke sini diturap dengan tar. Untuk ke Baling terpaksa berkayuh ke simpang Lenggong, kemudian naik teksi ke Baling.
“Tok Wan hanya dibayar RM10.40 sen untuk kerja menebas hutan dan lalang
ketika itu,” katanya.
Apabila ditanya apakah bayaran RM10.40 sen itu upah kerja sehari, Tok Wan menjawab agak kurang jelas: “Sebulan.” Bagaimanapun, yang boleh diingati Tok Wan ketika mengambil upah menebas hutan dan lalang di Ulu Legong, Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak.
“Tok Wan cuma ingat Tun Razak jadi Perdana Menteri ketika itu,” katanya.
Menurut Tok Wan, anak muda Ulu Legong ketika itu sukar mencari pekerjaan luar daripada kampung mereka kerana bimbang diserang hendap oleh pengganas komunis.
Mereka tiada pilihan kecuali menoreh getah, selain melakukan kerja kampung untuk menanggung keluarga masing-masing. Tok Wan dan isterinya kini hanya mengharapkan bantuan anak tunggalnya, Esah, 41, yang mencari makan dengan menoreh getah.
Bagi Siti Kiah, walaupun uzur, ada ketika dia membantu anak tunggalnya memotong getah di belakang rumah mereka.
“Syukur pada Allah, harga getah sekarang naik. Dulu sekilo getah sekerap harganya cuma 50 sen, kini boleh dapat RM4.20,” katanya.
Nasib warga emas dengan anak muda era ini di Ulu Legong nampaknya tidak jauh berubah. Bagi Sahri Saidin, 41, sejak remaja dia hanya tahu menoreh untuk mencari wang. Tiba musim hujan setiap hujung tahun, Sahri yang mempunyai empat anak (usia 5 hingga 16 tahun) mencari petai.
“Ada juga yang gigit jari bila tiba musim hujan. Saya tak boleh begitu sebab anak, lalu saya bersama seorang dua rakan akan mencari petai. Masuk ke hutan Ulu Legong ada kala sampai dua tiga jam, malah sampai ke sempadan Siam, kebetulan kampung kami dekat dengan Betong.
“Mencari petai juga mengikut musim, selalunya Ogos dan September. Bukan mudah mencari petai kerana ada rakan saya terjatuh lalu meninggal dunia kerana batang pokoknya licin. Yang patah kaki pun ramai.
“Sementara menanti petai berbuah, saya mencari kerdas tetapi mengikut musim juga cuma Mei dan Jun. Mencari buah keranji lagi parah kerana ia berbuah lima tahun sekali,” katanya.
Sahri yang berasal dari Kuala Ketil dan menetap di Ulu Legong sejak 16 tahun lalu, kini mengambil upah sebagai bomoh sambilan. Ilmu perubatan itu diperoleh secara ghaib sewaktu beliau mempelajari seni mempertahankan diri Kuntau Bangau Putih.
“Saya cuma mengubat ahli keluarga dan jiran tetangga,” katanya.
Biarpun mempunyai pendapatan sampingan, Sahri masih tidak mampu menyiapkan rumah barunya yang terbengkalai sejak lima tahun lalu.
Bagi Saari Nayan, 46, jika sebelum ini dia hanya mencari makan dengan menoreh getah, sejak dua tahun kebelakangan ini dia menjual anak benih getah pula.
Dia yang berasal dari Kampung Weng berkata, jika dulu harga benih getah yang disemai RM1.80, ia kini mencecah RM6.80.
“Saya tidak boleh bergantung harap pada kerja menoreh saja. Saya mempunyai dua anak, seorang remaja, seorang lagi kanak-kanak. Saya masih ingat ketika tinggal di Kampung 15 dulu, kami tidak tahan kerana sering diserang hendap oleh pengganas komunis. Ramai anak muda di Ulu Legong menoreh kerana tiada kilang di sini, tidak seperti di Kulim. Jika ada kilang besar di Baling, ramai anak kita akan kerja di sana,” katanya.
No comments:
Post a Comment