”Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamudden Md Taib, 62, berkata, beliau kesal dengan khabar angin yang menyebutnya sudah meninggal dunia sambil menyifatkannya adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya pasti ini semua sebab pilihan raya makin dekat. Mereka tidak senang dengan saya sebab saya mempunyai pengikut yang ramai. Bagi saya perbuatan ini adalah primitif dan tidak bertamadun.
“Saya tidak tuduh sesiapa tetapi spekulasi yang dibuat agak keterlaluan. Saya belum meninggal dunia, malah doktor cakap lagi empat hari saya dah boleh keluar (hospital),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, beliau kini sudah mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat namun masih diawasi oleh ahli keluarga.
“Saya dah boleh jalan sendiri berbanding masa mula masuk hospital dulu. Dulu, kaki dan tangan kiri saya langsung tidak boleh bergerak tetapi berbeza dengan sekarang.
“Keseluruhannya, nak urus diri sudah mampu saya lakukan sendiri antaranya mandi, makan dan solat,” katanya.
Taib Azamudden berkata, walaupun baru pulih dari serangan angin ahmar, semangat perjuangannya tidak pernah luntur malah tidak pernah terfikir untuk berundur dari politik.
“Saya tidak pernah bercadang untuk berundur malah semangat saya sentiasa tebal untuk meneruskan perjuangan parti.
“Saya di dalam bidang politik ini bukan untuk bermusuh dengan sesiapa tetapi untuk perjuangan. Bagi saya, kawan tetap kawan, keluarga tetap keluarga walaupun berbeza fahaman politik,” katanya.
Taib Azamudeen juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang datang melawatnya dan mendoakan serta melakukan solat hajat untuk kesihatan dirinya.
Sementara itu, anaknya Afnan Hamimi berkata, bapanya semakin sihat. Penjelasan Afnan Hamimi itu sekaligus menangkis dakwaan dalam laman sosial mengatakan ayahnya meninggal dunia lewat malam semalam. Kesihatan Taib Azamudden, 62, beliau beransur pulih dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini selepas serangan angin ahmar.
Afnan, yang juga Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang berkata, beliau dan keluarganya kesal dengan penyebaran khabar angin yang tifdak betul itu.
“Kami sekeluarga menerima banyak panggilan yang mahukan pengesahan tentang perkara itu (kematian).
“Ingin saya tegaskan di sini, bapa saya semakin pulih dan sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.
Menurutnya, bapanya baru menjalani rawatan fisioterapi dan kelihatan semakin bertenaga.
“Beliau juga semakin ceria dan lebih bersemangat untuk terus kembali ke medan perjuangan bagi meneruskan tanggungjawab kepada ummah dan amanah ALLAH yang belum selesai,” katanya.
Ahad lalu, Taib Azamudden diserang angin ahmar ketika menunaikan solat Dhuha di rumahnya di Baling.
Beliau dilaporkan stabil dan hanya mengalami ‘minor strok’. Sebelum itu, beliau sebelum itu dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi Kardiologi (CCU) di sebuah hospital swasta di negeri ini dan kemudiannya dipindahkan ke wad biasa dan dijangka keluar hospital dalam tempoh seminggu ini.
No comments:
Post a Comment