PEMBABITAN dalam kerjaya yang jelas status pengharamannya masih banyak berlaku di dalam negara kita.
Pelbagai alasan diberi oleh sebahagian mereka untuk mengurangkan rasa berdosa atau lebih berbahaya, menyatakan dan ‘membenarkan’ tindakan mereka sebagai halal atau harus.
Menyentuh hal ini, saya bersetuju kita tidak boleh terus menghina petugas seperti itu seolah-olah mereka tiada lagi peluang untuk memperbaiki kerjaya mereka.
Khususnya penghinaan tanpa usul periksa kerana mungkin ada yang terjebak kerana diperangkap sindiket ‘hitam’ akibat nafsu muda atau kerana kejahilan sendiri.
Namun begitu, kita harus sedar teguran dan kecaman terhadap mengutuk pekerja- pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit.
Kutukan perlu dibuat terhadap kerjaya kotor itu dan bukan tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan sesuatu pihak supaya kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.
Pada masa sama, ada pula pihak pendakwah lain mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun, kita tidak boleh menyalahkan teknik ‘kutukan’ dan ‘kecaman’ kerana teknik itu juga bersumber daripada al-Quran dan al-Hadis.