KUNJUNGAN seorang wanita ke sebuah negeri di utara tanah air Julai tahun lalu untuk bertemu bakal suami sepatutnya menjadi detik indah, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila lelaki itu yang selama perkenalan mereka baik hati, lemah lembut, malah percintaan direstui keluarga, berubah menjadi buas umpama ‘binatang’.
Hampir dua bulan wanita itu diperlakukan umpama hamba abdi dengan setiap hari dibelasah bukan saja menggunakan kaki dan tangan, tetapi turut digigit di beberapa bahagian badan.
Paling dikesalkan, perkahwinan yang dijadualkan pada Disember tahun lalu, ‘dipercepatkan’ bakal suaminya apabila dibawa ke Thailand untuk berkahwin.
Alasan lelaki itu berbuat demikian adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, kononnya lebam ‘dihasilkannya’ hanya masalah dalaman rumah tangga.
