GUA MUSANG: “Saya menjerit Allahuakbar berulangkali sebaik melihat sebuah kereta berpusing menuju ke rumah saya. Mujur ketika itu saya berada di ruang tamu kerana kereta berkenaan merempuh bilik tidur saya sehingga runtuh,” kata warga emas,
Che Yam Che Wil, 70, yang terselamat apabila sebuah kereta Honda Accord merempuh bilik tidurnya sehingga runtuh dalam kejadian di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar Renok Baru, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kereta dinaiki empat lelaki berusia 25 hingga 40 tahun yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai terbabas sebelum berpusing sehingga melanggar pembahagi jalan dan merempuh bilik tidur Che Yam.
Akibat rempuhan kuat itu, bilik Che Yam runtuh dan kereta berkenaan terlajak beberapa meter sehingga melanggar bukit bersebelahan rumah anak Che Yam sebelum terhenti di tepi rumah.
Seorang daripada empat lelaki itu cedera ringan. Menurut Che Yam, pada mulanya dia terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat dari tingkap ruang tamu rumahnya, sebuah kereta terbabas melanggar penghadang jalan dan menuju ke rumahnya yang terletak di tepi jalan.
“Kereta itu merempuh bilik tidur saya dan ketika itu bergegar seluruh rumah. Saya terus keluar rumah dan melihat kereta itu terlajak beberapa meter sehingga melanggar bukit bersebelahan rumah anak saya.
“Rumah anak saya itu terletak bersebelahan rumah saya dan mujur tiada rosak teruk kerana kereta itu terhenti di tepi rumahnya,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian berkenaan.
Katanya, dia bersyukur kerana terselamat dan ketika kejadian tiga cicitnya tidak bermain di halaman rumahnya seperti kebiasaan.
“Jika tiga cicit saya itu bermain di halaman rumah, mungkin berlaku kejadian buruk kerana kereta itu melalui halaman rumah sebelum merempuh bilik tidur saya.
“Bagaimanapun, saya kini berdepan masalah bagaimana untuk membaiki bilik tidur yang runtuh itu dalam tempoh terdekat ini kerana tiada wang,” katanya.
No comments:
Post a Comment