SHAH ALAM – Sudah tiba masanya undang-undang Islam yang menyeluruh dilaksanakan di negara ini, kata Naib Yang Dipertua 2, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Prof Emeritus Datuk Dr Ariffin Suhaimi.
Menurutnya, pelaksanaan undang-udang tersebut bagaimanapun memerlukan kajian teliti agar dapat dijalankan mengikut syarak.
“Kita ada ramai pakar yang boleh membincangkan perkara ini. Adalah lebih baik mengumpulkan suara mereka bagi mendapatkan jawapan yang lebih jelas.
“Saya pasti, umat Islam boleh menerima hukum hudud ini. Bagaimanapun, untuk mengelakkan kekeliruan di kemudian hari, kajian terperinci diperlukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Isu hudud kembali mendapat perhatian ramai apabila Ahli Dewan Undangan (Adun) Kemelah, Johor, Datuk Ayub Rahmat mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hudud.
Ariffin berkata, menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjelaskan perkara ini agar tidak timbul salah faham di pihak yang lain.
“Tidak ada masalah untuk negeri-negeri laksanakan hudud kerana unsur-unsurnya telah ada. Kita ada undang-undang sendiri (undang-undang Islam) jadi tidak salah untuk kita menggunakannya.
“Bagaimanapun, akta sedia ada perlu dikaji balik dan unsur keadilan itu mesti diberi keutamaan dalam pelaksanaan hukum ini,” katanya.
Kelantan yang diterajui Pas telah memulakan langkah tersebut dengan membentuk Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) pada tahun 1993, bagaimanapun sehingga ini masih gagal dilaksanakan.
No comments:
Post a Comment