SUNGAI CHOH - Peniaga sebuah premis perniagaan terkedu melihat lensa kamera Sinar Harian merakam aktivitinya melayan pelanggan Melayu membeli makanan pada waktu siang, semalam.
Itu reaksi Marisol, 47, atau Noraini sebaik melihat wartawan Sinar Harian bersama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Stesen, Rosli Kahan tiba di kedainya di kawasan industri kecil, Taman Anugerah Suria, di sini.
Dia yang berniaga melalui pintu belakang restoran milik suaminya jelas terkejut dengan kehadiran Sinar Harian dan meminta maaf atas perbuatannya.
“Maaflah, saya tak akan jual lagi. Saya tahu saya salah,” katanya sambil kelihatan serba tidak kena.
Ditanya mengapa berniaga makanan di siang hari, Noraini menjelaskan tujuannya untuk mencari wang membayar sewa kedainya.
Menurutnya, dia terpaksa berniaga walaupun sedar suatu kesalahan memandangkan keadaan memaksa ditambah suaminya sakit kencing manis dan darah tinggi.
“Suami saya sakit dia tinggal di rumah saja jadi saya terpaksa berniaga untuk bayar sewa kedai,” katanya yang berasal dari Filipina.
Noraini dibantu dua pekerja warga Myanmar dan menjual makanan pelbagai lauk untuk hidangan semua pelanggan yang kebanyakannya Melayu.
Menurutnya, dia turut berniaga di bazar Ramadan namun pendapatan tidak seberapa kerana hanya menjual martabak.
Tinjauan mendapati rata-rata pelanggan di kedai tersebut adalah pekerja sebuah kilang pengeluar kereta di sini.
Sementara itu, Rosli berkata, setiap tahun apabila tiba Ramadan beliau menasihati peniaga restoran tersebut agar tidak berniaga di siang hari terutama kepada orang Islam.
Bagaimanapun, peniaga terbabit sering ingkar dan tetap berniaga melalui pintu belakang bermula seawal jam 10 pagi hingga 3 petang.
“Tinjauan saya semalam (kelmarin) sekitar jam 1.15 petang, ramai pelanggan yang makan dan membungkus makanan di kedai tersebut.
“Tapi, hari ini (semalam) kurang sebab pelanggan menyedari kehadiran saya bersama wartawan, mereka tidak berani mahu beli,” katanya.
Menurutnya, peniaga terbabit turut memberi isyarat kepada pelanggannya yang berhenti di depan kedainya supaya beredar bagi mengelak perbuatan mereka dirakam.
No comments:
Post a Comment