Rasulullah SAW pernah menjabat tangan seorang pekerja yang bengkak kerana kerja keras, lalu menciumnya sambil berkata, "Inilah tangan yang dicintai Allah dan Rasul-Nya."
Bekerja dalam Islam dilihat dari kualiti. Pekerja yang baik adalah yang berusaha meningkatkan kualiti prestasi. (Surah Al-An'am [6]: 132). Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya Allah senang apabila salah seorang dari kamu bekerja dengan kualiti tinggi."
Islam sebagai agama rahmatan lil alamin memerhatikan hak dan tanggungjawab pekerja dan meletakkan beberapa peraturan. Pertama, Islam menuntut agar pekerja sentiasa bertakwa dalam setiap situasi dan keadaan. Ketakwaan ini akan mendorongnya untuk melaksanakan tugasnya dengan baik dan berusaha membersihkan dirinya dari pelbagai niat jahat.
"Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan jalan keluar baginya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya." (Surah At-Thalaq [65]: 2-3).
Kedua, Islam menganjurkan kepada setiap pekerja bekerja secara profesional. Kualiti kerja tak mungkin dapat direalisasikan, kecuali dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi. Ketiga, menanamkan semangat persaingan sihat dengan memberikan kebebasan untuk memilih pekerjaan sesuai dengan keahliannya.
Keempat, Islam melarang membebani pekerja di luar batas kemampuannya. Rasulullah bersabda, "Janganlah kamu sekalian membebani pekerja dengan tugas yang dia tidak kuat memikulnya."
Islam menganjurkan syarikat agar memberikan bantuan dan rangsangan kepada pekerja apabila memberikan tugas tambahan. "Apabila kamu sekalian membebani mereka, maka berilah dorongan dan bantuan."
Kelima, memerhatikan keperluan primernya, baik keselamatan, kesetiaan, penghargaan, maklumat, pengetahuan, keindahan, aktualisasi diri, dan keperluan rohaninya.
Keenam, Islam menganjurkan supaya dibuat perjanjian kerja antara pengusaha dengan pekerja. Perjanjian ini meliputi hak-hak dan tanggungjawab masing-masing, termasuk masalah upah dan pekerjaan yang perlu dilaksanakannya.
Rasulullah bersabda, "Barang siapa menggaji seorang pekerja hendaklah memberitahu terlebih dahulu berapa jumlah upahnya." Tujuannya, agar seorang pekerja mempunyai motivasi kerja yang tinggi. Dalam hadis lain dikatakan, "Berikanlah upah buruh sebelum kering keringatnya."
Islam sangat menjamin hak-hak pengusaha. Perjanjian antara pekerja dan pengusaha merupakan sumpah yang harus ditunaikan oleh masing-masing. Hal ini juga menjadi alat kawalan dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Seorang pekerja juga harus berpegang pada janjinya dalam bekerja. (Surah Al-Maidah [5]: 1).
Dalam ayat lain, Allah mengingatkan, "Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang, iaitu orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta dipenuhi dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi." (Surah Al-Muthaffifin [ 83]: 1-3). Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment