Abdul Rahman bin Auf merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang hartawan namun tetap zuhud. Beliau telah banyak membelanjakan harta kekayaannya ke jalan agama. Beliau adalah seorang usahawan yang termasyhur ketika itu (seorang bilionair jika dibandingkan dengan zaman sekarang). Abdul Rahman bin Auf juga adalah seorang saudagar dan usahawan termasyur yang telah dijanjikan syurga. Beliau sangat banyak menyumbangkan hartanya pada jalan Allah. Apabila diminta untuk menderma, pasti tidak akan ditolaknya.
Berikut adalah tips perniagaan yang boleh kita ambil dari seorang korporat Islam yang amat tersohor dalam bidang perniagaan iaitu Saidina Abdul Rahman Bin Auf:
Sikit, tapi untung
Salah satu perniagaan yang dijalankan oleh beliau adalah perniagaan unta. Beliau berjaya mendominasi perniagaan unta ini yang sebelum itu telah pun didominasi oleh kaum Yahudi. Persoalannya, bagaimana Abdul Rahman bin Auf mampu mematahkan strategi kaum Yahudi?
Konsepnya mudah, untung sedikit tetapi dalam kuantiti yang banyak. Setibanya Saidina Abdul Rahman berhijrah dari Mekah ke Madinah, beliau ditawarkan oleh seorang saudaranya yang baru sama ada mahu memiliki kekayaan atau isterinya, namun beliau lantas memilih agar ditunjukkan sahaja di mana letaknya pasar.
Dari situ, beliau memulakan perniagaan menjual unta. Harga unta yang dijual hanya 1000 dirham (tiada untung kerana harga kos unta adalah 1000 dirham juga!). Beliau hanya mengambil untung atas jualan tali yang mengikat unta tersebut! Bayangkan beliau dapat menjual 1000 ekor unta dalam masa sehari sahaja.
Beliau langsung tidak mengambil keuntungan dengan hasil jualan unta, namun apabila ditanya kepada beliau, beliau menjawab:
Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual “tali pengikat unta”.
Dari situlah datangnya keuntungan beliau berniaga. Tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam- macam warna. Jarang orang lain yang berniaga unta dapat menandingi kelebihan beliau berniaga.
Sebenarnya, pada zaman ini ramai peniaga-peniaga yang menggunakan strategi ini, lebih-lebih lagi peniaga yang mempunyai modal pusingan yang besar.
Ramai peniaga-peniaga terutamanya kedai-kedai borong yang menjual pada harga rendah bagi barangan yang biasa dibeli pengguna, namun secara ‘tersembunyi’ menaikkan harga bagi sesetengah barangan mereka.
Pembeli yang sudah ‘kerasukan’ membeli barangan mereka pasti akan tidak sedar bahawa sesetengah barangan mahal pula harganya, namun tetap berbelanja dengan alasan ‘malas’ untuk pergi ke kedai lain.
Strategi ini jarang sekali dilakukan oleh para peniaga. Tidak ramai yang berani mengambil risiko ini kerana jika tersilap langkah, kerugian besar yang menanti peniaga.
Selain itu, Saidina Abdul Rahman bin Auf pernah ditanya tentang apakah strategi perniagaannya yang lain sehinggakan menjadi hartawan yang terkemuka pada zaman itu?
Syukur Walau Untung Sedikit
“Aku tidak pernah menolak keuntungan walaupun sedikit.”
Frasa di atas sangat memberikan kesan yang positif bagi para usahawan dalam mengatur strategi perniagaan. Jangan sesekali ambil mudah soal keuntungan yang bakal diambil dari pembeli, dan jangan pula mengambil mudah soal halal dan haram dalam perniagaan.
Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai kos tanggungan seperti kos penghantaran, kita harus bijak mengira kos supayakeuntungan dapat ditampung walaupun kos penghantaran produk biasanya tidaklah seberapa. Dari segi halal haramnya, jangan pula ada unsur-unsur riba dalam menguruskan perniagaan.
Jangan Seksa Pelanggan
“Aku tidak pernah melambatkan penjualan barangan daripada yang meminta.”
Sekiranya ada permintaan, beliau akan sedaya upaya mendapatkan barangan yang diminta oleh pelanggan. Strategi ini boleh diaplikasikan dalam perniagaan yang dijalankan. Ada segelintir usahawan yang bersikap ‘malas’ dan mengambil mudah perkara ini.
Sekiranya pelanggan bertanyakan tentang sesuatu barangan, peniaga hanya membiarkan pelanggan berlalu pergi dengan menyatakan, “Barang yang diingini tidak dijual disini”.
Peniaga yang bijak tidak akan mudah ‘melepaskan’ pelanggan seperti ini, sebaliknya akan berusaha sedaya upaya mendapatkan bekalan barangan yang diminta dari jaringan rakan-rakan perniagaannya yang lain.
Sila Bayar Tunai
“Aku tidak menjual secara tangguhan bayaran.”
Abdul Rahman bin Auf tidak mengamalkan cara tangguhan bayaran yang rata-rata ramai dikalangan para peniaga yang mengamalkan teknik ini. Beliau menjalankan urusniaga dalam bentuk tunai.
Sebenarnya dengan mempercepatkan bayaran, peniaga akan mendapat pusingan modal dengan lebih cepat, dan mudah untuk digunakan bagi membeli barangan yang baru untuk dijual.
Seterusnya timbul pula persoalan mengapa Pasar Ansar kepunyaan Rasulullah SAW di Madinah mencipta sejarah menang besar dalam persaingan perniagaan dengan peniaga yahudi atau orang bukan Islam Madinah?
Rahsianya penting yang harus peniaga Islam ketahui ialah setiap malam yang sepi waktu dinihari, para pelaksana perniagaan diketuai oleh Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. sendiri akan bermunajat kepada Allah dan Rasul, untuk menyokong dan memberi kerjasama dalam perniagaan mereka.
Mereka semua melakukan solat hajat, berdoa, taubat, zikir wirid, membaca Al-Quran, selawat dan lain-lain ibadah sampingan demi mendapatkan Tuhan sebagai penolong dan pemimpin. Maka jatuhlah ke hati mereka mukjizat Rasulullah SAW mengajarkan bagaimana perniagaan menurut Islam atau cara berniaga yang disuruh Allah SWT.
Mereka akhirnya dapat menawan hati penduduk kota Madinah. Para penduduk mula beralih daripada peniaga yahudi kepada peniaga pimpinan Abdul Rahman bin auf r.a. Beliau memupukkan rasa kasih sayang sesama peniaga dan para pelanggan.
Rindu untuk duduk bersama Rasul dan para sahabat membuatkan orang Madinah akhirnya berpusu-pusu membeli di Pasar Ansar. Maka akhirnya peniaga yahudi mula meninggalkan kota Madinah.
Begitulah kehebatan strategi perniagaan yang diamalkan Abdul Rahman bin Auf yang harus dijadikan contoh kepada kita lebih-lebih lagi sebagai peniaga. Hamka amat tertarik dengan jawapan yang telah diberikan oleh Abdul Rahman bin Auf.
Jika ada yang bertanya tentang rahsia perniagaannya, Abdul Rahman bin Auf menjawab;
“Aku tidak menjual barang-barang cacat, aku merasa cukup dengan untung yang sedikit kerana aku tahu Allah memberkati..”
Kehebatan beliau dalam perniagaan tidak dapat disangkal lagi. Sejarah pernah merekodkan bahawa beliau pernah menjual seribu ekor unta dalam masa sehari sahaja. Beliau menjualnya dengan harga yang murah, beliau hanya mengambil untung atas tali yang mengikat unta sahaja
Usaha secara berterusan
Kita lihat kekuatan jiwa yang dimiliki oleh Saidina Abdul Rahman dalam berniaga. Dalam peristiwa Hijrah, beliau sanggup tinggalkan kekayaan semata-mata menyahut seruan Hijrah. Namun, beliau cepat-cepat berusaha mengubah nasib diri setibanya di Madinah berbekalkan modal yang ada. Kita juga harus bersikap sedemikian, jangan mudah mengalah jika bankrup atau gulung tikar.
Keyakinan yang jitu kepada Allah
Orang beriman dan bertakwa yang kaya adalah mereka yang senantiasa memiliki keyakinan bahawa segala usaha yang mereka kerjakan pasti mendapat keberhasilan tidak kira cepat atau lambat, sedikit atau banyaknya untung.
Kesimpulan ringkas yang dapat dibuat daripada strategi perniagaan Abdul Rahman bin Auf:
1. Jangan menolak rezeki walaupun sedikit. Adakalanya kita terpaksa menurunkan keuntungan perniagaan kita. Dengan itu, keuntungan masih kita perolehi. Rezeki masih menyebelahi kita walaupun sedikit.
2. Percepatkan segala urusan jual beli. Percepatkan segala layanan pelanggan. Terbukti dari zaman dahulu sehingga kini, kelajuan dan kepantasan menangani masalah dan pelanggan dalam perniagaan akan memberi pulangan yang tinggi. Pelanggan pula akan suka kepada peniaga sebegini. Dengan memudahkan urusan pelanggan, besar kemungkinan pelanggan akan melanggan buat kali kedua dan seterusnya.
3. Urus niaga haruslah dijalankan dalam tunai sahaja. Di mana ia akan menguntungkan kedua belah pihak samada pelanggan mahupun peniaga.
No comments:
Post a Comment