Bendera merah, lampu merah, apa saja berkaitan dengan warna merah sering dijadikan bahasa kiasan untuk si gadis ketika datang bulan. SHUHADA MANSOR imbas kenangan lucu yang diceritakan si gadis dan tak terkecuali, si teruna.
Siapa yang masih ingat bila tarikh pertama didatangi haid? Tarikh itu mungkin tidak sepenting tarikh ulang tahun kelahiran ataupun perkahwinan namun rentetannya pasti masih diingati hingga kini.
Mengimbas kembali kenangan kali pertama mengibarkan ‘bendera merah’ mungkin antara peristiwa melucukan bagi sesetengah wanita. Tidak kurang juga memikirkan rasa malu pabila berhadapan dengan adik beradik lelaki. Walau apa sekalipun, tragedi ini meninggalkan kesan mendalam dalam diri setiap wanita.
Lazimnya, sebaik saja budak perempuan mencecah umur 11 atau 12 tahun, mereka akan mula didatangi haid. Bagaimanapun, ada di antaranya mengalami lebih awal iaitu seawal usia sembilan atau 10 tahun.
Lazimnya, sebaik saja budak perempuan mencecah umur 11 atau 12 tahun, mereka akan mula didatangi haid. Bagaimanapun, ada di antaranya mengalami lebih awal iaitu seawal usia sembilan atau 10 tahun.
Bagi seorang budak perempuan, apabila mula didatangi haid, ini bermakna dia semakin melangkah ke alam dewasa untuk menjadi wanita. Untuk bertukar daripada seorang gadis ke wanita, terdapat banyak perubahan yang akan berlaku termasuklah perubahan tubuh badan, sikap dan sebagainya.
Bayangkan, dalam usia 10 tahun atau lebih awal dari tempoh itu, anak perempuan datang haid dan tidak tahu dari mana datangnya ‘darah’ yang buat pertama kali dilaluinya, menjadikan ia pengalaman yang sukar dirungkai.
Si gadis akan rasa sedikit takut atau sedih apabila ia berlaku. Untuk budak perempuan, melihat kotoran pada seluar dalam mereka mungkin agak menakutkan pada kali pertama. Pada ketika diri bergelumang dengan pelbagai rasa inilah, si ibu ataupun si kakak selalunya akan menjadi guru dan teman terbaik.
Kitaran hidup ini normal dan ia adalah sebahagian daripada proses membesar bagi setiap manusia. Bukan saja golongan wanita mengalaminya, malah si lelaki juga tidak terkecuali. Tetapi seperti diketahui, sifat malu golongan wanita lebih tebal berbanding si teruna, sekali gus menjadikan saat setiap kali datang bulan sebagai fasa ‘berperang’ dengan emosi dan berjuta-juta lagi rasa.
Sudahlah tak tenteram dan gelisah ketika datang haid, rasa malu terhadap seluruh ahli keluarga terutama kepada ayah, abang dan adik lelaki pasti dirasai setiap gadis terutama pada kali pertama dulu.
Berbicara lanjut, penulis sendiri berkesempatan berkongsi cerita dengan beberapa warga GEN.Y mengenai isu ini dengan pelbagai peristiwa menarik dikongsi bersama.
Antaranya, disebabkan terlalu panik pada kali pertama datang haid, ada yang mengadu kepada ayah sambil menangis teresak-esak kerana takut. Ada yang menyorok di dalam tandas sekolah kerana takut untuk memberitahu guru dan ada juga dengan tenang meminta bantuan abang untuk membeli tuala wanita walaupun kali pertama mengalaminya.
Bercerita mengenai pengalaman ini, masih ingatkah anda pengalaman pertama ataupun kenangan melucukan ketika datang bulan? Bagi si gadis, mungkin untuk tangani rasa takut, malu, gelisah dan beribu-ribu lagi perasaan bercampur-baur boleh diimbas kembali dengan mudah, namun bagi golongan lelaki, pernahkah berada dalam situasi itu. Bagaimanakah reaksi anda?
Kikis rasa malu
“Peristiwa kali pertama adik-beradik perempuan saya datang bulan secara tak langsung mengajar saya untuk bersikap lebih ambil berat hal keperibadian kaum Hawa. Kejadian berlaku ketika adik perempuan saya kali pertama datang haid, ketika itu saya berada di rumah dan bingung tak tahu nak buat apa. Terkedu.
“Namun apabila ibu terangkan apa yang berlaku, saya mula faham dan membantu pergi beli tuala wanita di kedai berhampiran. Pengalaman pertama beli ‘pad’ memang aneh. Keliru kerana terdapat banyak jenis dan pilihan hingga saya terpaksa kikis rasa malu dan tanya jurujual. Atas bantuan, bukan saja saya jadi abang yang bertanggungjawab, malah dapat tahu sedikit sebanyak mengenai jenis tuala wanita.
“Dan sejak peristiwa itu saya mula sedar, sebagai kaum Adam, kita tak sepatutnya terus lepas tangan. Sekurang-kurangnya belajar serba sedikit mengenai wanita untuk persediaan masa depan,” katanya.
Nama: Hanafis Abdul Haris
Umur: 24 Tahun
Lokasi: Perak
Keliru banyak jenama
“Seingat saya, pertama kali datang bulan masa umur 14 tahun. Boleh dikatakan waktu itu saya bersedia sebab ramai kawan dah lepas. Saya duduk asrama, jadinya kawan rapat jadi teman dan mereka jugalah yang tolong ajar saya cara pakai tuala wanita dan sebagainya.
“Pertama kali saya pergi beli sendiri tuala wanita di kedai memang rasa semacam. Lama saya tercegat perhatikan keadaan sekeliling hingga betul-betul tiada lelaki kiri kanan, baru saya ambil dan bayar laju-laju. Memang lucu.
“Selalunya saya akan beli stok, tapi kalau balik kampung, saya minta abang belikan tuala wanita. Biasalah lelaki, penat hurai itu ini sebelum dia keluar tapi sudahnya bila sampai ke kedai, dia akan telefon juga untuk bertanya sebab keliru terlalu banyak jenis dan jenama. Jadi untuk kaum lelaki, ambil tahu serba sedikit perihal wanita supaya nanti bila kahwin, tak terlalu kekok untuk hadapi semuanya,” katanya.
Nama: Nor Shahidah Shahabudin
Umur: 24 Tahun
Lokasi: Kedah
Meremang bulu roma
“Secara jujurnya, saya sendiri yang akan rasa malu kalau ibu ataupun adik-beradik perempuan minta tolong belikan tuala wanita. Dan sebolehnya saya akan mengelak. Bukan apa, rasa semacam bila pergi ke rak dan pilih jenama ‘pad’ kemudian satu hal pula bila tunggu giliran nak bayar. Memang boleh dikatakan jadi meremang bulu roma tiba-tiba.
“Saya dah ada teman wanita dan apa yang saya nampak sekarang, wanita akan jadi cepat emosi dan serba tak kena kalau datang bulan. Bohong kalau saya katakan tak rasa jengkel, tapi terpaksa dan layan saja perangai mereka.
“Sebagai lelaki yang tak akan datang bulan, nak tak nak, kita kena tahan dan sabar kalau kena hadapi situasi macam ini setiap bulan. Yang penting, kena tahu kawal emosi mereka dan cuba untuk berkelakuan baik. Kalau berperangai tak senonoh, tak mustahil kena marah percuma dengan mereka,” katanya.
Nama: Muhamad Fakhrurazi Hamdi
Umur: 21 Tahun
Lokasi: Johor
No comments:
Post a Comment