Cikgu Zakuan (bukan nama sebenar) adalah seorang guru cemerlang yang begitu berjaya di sepanjang kerjayanya. Beliau dan isterinya Maimunah yang juga seorang guru berijazah mempunyai anak yang agak ramai dan terpelajar.
Semua anak-anak mereka berjaya dalam akademik dan cemerlang dalam profession masing-masing setelah memiliki ijazah perubatan, ijazah sarjana dan ada juga yang memiliki ijazah kedoktoran falsafah di universiti yang terkenal di dalam dan di luar negara.
Ringkasnya, semua anak-anak mereka kini berjawatan tinggi dan bergaji besar kecuali ‘Angah’, anak ke duanya yang tidak begitu ‘menjadi’ kerana tidak belajar sampai ke universiti dan hanya melakukan kerja-kerja pertanian di tanah pusaka peninggalan datuknya di kampung.
Namun apabila Cikgu Zakuan dan Cikgu Maimunah telah sampai ke tahap usia emas, ke semua anak-anaknya yang hebat dan berjaya tadi terus menetap di KL, Ipoh dan JB kerana berdekatan dengan institusi tempat mereka bekerjaya.
Anak-anaknya yang mempunyai posisi istimewa di dalam kerjaya ini tidak mempunyai banyak kesempatan untuk meluangkan banyak masa dengan mereka berdua yang semakin tua melainkan panggilan talipon sekali sekala dan ziarah di hari raya yang sangat mereka nanti-nantikan.
Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan mereka yang langsung tidak mengambil berat mengenai keadaan ayah dan ibu mereka yang semakin tua. Bahkan juga tidak mengambil berat mengenai tanggung-jawab lain sebagai seorang Islam seumpama mengerjakan solat dan sebagainya.
Tinggallah Angah, anak ke duanya yang merupakan seorang petani yang dikatakan oleh orang ramai sebagi tidak ‘menjadi’ itu. Angahlah yang tekun berkhidmat dengan mengiringi Cikgu Zakuan dan isterinya yang semakin tua ke masjid setiap hari dan juga menemani mereka menyertai aktiviti masyarakat kampung yang lainnya sehinggalah mereka berdua meninggal dunia.
………………………………………………………………………………………………………..
Apabila diceritakan kisah ini dan cerita-cerita yang seumpama dengannya, saya akan terus teringat kepada doa Nabi Ibrahim a.s,
“Ya Tuhanku jadikanlah aku dan anak cucuku orang – orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhanku perkenankanlah doaku , ya Tuhanku beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan seluruh orang mukmin, pada hari terjadinya hisab.
Surah Ibrahim ; Ayat 40 -41
Moga-moga kita berjaya memiliki anak-anak ‘yang menjadi’ dari pandangan ‘mata hati’….
Prof Madya Dr Zainur Rashid Zainuddin
<Cemerlang dalam akademik bukan menjadi kayu ukur kejayaan di hari depan>
No comments:
Post a Comment