KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) akan memperoleh kemenangan kerusi dua pertiga di Parlimen jika ahli-ahli Umno tidak mengamalkan sabotaj dan menerima calon - 'winnable candidate' - yang dipilih oleh parti bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Presiden dan Perdana Menteri melahirkan keyakinan ini ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno, yang terakhir sebelum PRU13, di Dewan Merdeka lewat petang ini.
Ia dilihat sebagai kenyataan terbuka kali pertama diperkatakan oleh Najib sepanjang hampir dua tahun ini ketika beliau menggerakkan program transformasi politik dan ekonomi negara.
BN mengalami prestasi buruk pada PRU 2008 apabila hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, selain kuasa lima kerajaan negeri. Kini, BN memiliki 137 kerusi di Dewan Rakyat yang memperuntukkan 222 kerusi.
Dalam ucapan penggulungan yang mengambil masa hampir sejam, Najib juga berkata, beliau sudah tidak bimbang dengan ancaman dan halangan dari luar parti apabila menghadapi PRU13.
"Saya percaya bahawa musuh tidak kuat, saya percaya bahawa orang ramai akan memihak kepada Umno dan Barisan Nasional, yang saya khuatir, sikit... apa itu?" katanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Para pemerhati melihat bahawa Najib harus memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Parlimen demi survival diri beliau sebagai Presiden Umno, khususnya menjelang pemilihan parti tahun depan.
Dalam satu temu bual dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, BN kini mempunyai kapasiti untuk menang 120 kerusi jika PRU13 diadakan sekarang.
Katanya, bilangan kerusi bakal diperoleh BN tidak akan merosot daripada angka itu, tetapi ada kemungkinan ia naik.
Bagaimanapun seorang lagi pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff meramalkan kerusi yang selamat bagi BN kurang daripada 100.
Apabila diminta menceritakan apa yang dimaksudkan "sikit yang dikhuatiri itu", oleh Pengerusi Tetap Umno, Najib pula menjawab, "yang saya khuatir, soal kita, kita sesama kita (dalam parti)."
Najib yang mengetuai Umno sejak akhir Mac 2009 dengan menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas prestasi buruk BN dalam PRU 2008 juga mengetengahkan "satu soalan cepumas" untuk dijawab oleh ahli-ahli Umno menjelang PRU13.
Soalan itu dilihat turut dirujuk kepada komponen BN.
"Soalannya bila pilihan raya?... (tidak), soalan cepumas ialah andainya anda tidak dipilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuh-penuhnya calon yang dipilih oleh Umno dan Barisan Nasional.
"Saya akan beri lima kemungkinan... lima kemungkinan," kata Najib yang juga Pengerusi BN.
Pertama, sokong sepenuhnya calon dipilih Umno-BN, kedua sokong, ketiga tidak bekerja semasa PRU13, keempat sabotaj dan kelima melompat parti.
"Yang ini, kajian ini penting, tak payah edar borang, tak bimbang, tak dihantar borang.
"Saya hendak tuan-tuan dan puan-puan, balik nanti... dalam kereta, dalam bas ekspres, cuba letak tangan di dada dan tanya selera.
"Walaupun kita lihat dalam suasana dalam dewan ini, bergema dengan hebat, untuk menghayati, untuk bawa semangat, untuk bertahan sampai masa pilihan raya nanti...," kata beliau sambil menambah, "kalau tidak kuat imannya, daripada sokong sepenuhnya, dia akan jadi sokong, atau dari sokong menjadi tak kerja, dan lebih parah lagi sabotaj parti atau dia lompat parti."
"Saya sebut ini sebagai segala kemungkinan," kata Najib yang turut memuji sebahagian besar perwakilan yang berhimpun adalah penyokong tegar Umno.
Bagaimanapun katanya, ada juga bekas menteri dan timbalan menteri yang telah mengkhianati parti ekoran "gilakan kuasa" dan "rasuk" pihak tertentu.
Justeru kata beliau, jawapan yang diperlukan ialah "kalau saya tidak dipilih calaon, tetap akan menyokong calon Umno-BN."
Sambil menyifatkan jawapan sambutan "boleh", daripada perwakilan sebagai 'tanda positi', Najib menambah, "kalau itu jawapannya, kalau itu yang sebenarnya, insya-ALLAH, dalam PRU13, kemengan dua pertiga di tangan Umno-BN."
Dalam pada itu, Bernama memetik Najib pada sidang media diadakan kemudian berkata, Perdana Menteri sekali lagi melahirkan keyakinan BN akan memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.
Perdana menteri berkata, BN, gagasan yang memerintah dengan Umno sebagai tonggak utama, akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu.
"Inilah sasaran kami, untuk mencapai majoriti dua pertiga, dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya," katanya.
Najib menyuarakan keyakinan bahawa momentum dan semangat parti yang terhasil daripada perhimpunan itu akan dapat dikekalkan sehingga pilihan raya umum.
"Momentum adalah baik dan saya pasti, saya amat yakin bahawa mereka (perwakilan Umno) akan membawa pulang semangat perhimpunan ini... mood perhimpunan keseluruhannya amat bertenaga," katanya dan menambah Umno sedia untuk 'berperang'.
Ditanya bagaimana Umno akan menangani sabotaj dalam parti, Najib yakin anggota Umno akan bertindak rasional dan tidak akan merosakkan parti jika mereka benar-benar sayangkan Umno.
"Kalau dalam hati dia sayangkan Umno dan dalam minda dia tahu bahawa sesuatu perbuatan seperti itu boleh merosakkan parti, merosakkan dia juga, saya percaya dia akan bertindak secara rasional," katanya.
TAPI PERSOALANNYA KALAU BERANI DAN YAKIN BUBAR LA PARLIMEN WAHAI PM...
No comments:
Post a Comment