Kuala Lumpur: Misteri kehilangan seorang jurujual sejak dua hari lalu terjawab apabila dua rakan sekerja bersama ibu saudaranya menemui mayat mak nyah terbabit dalam keadaan mengaibkan dengan lehernya dijerut tali pinggang di Flat Sri Lempah,
Jalan Klang Lama, di sini, kelmarin.Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 25 tahun ditemui dalam keadaan meniarap dengan memakai pakaian dalam wanita serta berambut palsu berwarna perang.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Az Lee Abdullah berkata, kehilangan mangsa disedari selepas tidak hadir di tempat kerjanya di sebuah pusat beli-belah di pusat bandar sejak dua hari lalu manakala telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
“Dua rakan sekerja mangsa kemudian datang ke kediaman lelaki terbabit dan mendapati pintu jeriji rumah berkunci namun pintu kayu sedikit terbuka. Ibu saudara mangsa yang tinggal di sebelah rumah kemudian menyedari kehadiran mereka dan membuka pintu menggunakan kunci pendua.
“Sebaik masuk ke bahagian bilik tidur mangsa, mereka menemui mayat mangsa dengan kesan leher dijerut dengan tali pinggang,” katanya. Menurutnya, ketika mayat mangsa ditemui, televisyen dan juga kipas angin di dalam bilik berkenaan dibiarkan terbuka manakala dompet dan telefon bimbit miliknya didapati hilang.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan punca kematian mangsa akibat lemas dijerut dan kita tidak menolak kemungkinan ia berkait dengan perlakuan seks ganas.
“Bagaimanapun, tiada sebarang tanda mangsa baru melakukan hubungan seks dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment