YAN - Tindakan kejam penyamun tergamak menyembelih leher seorang ibu tunggal menyebabkannya nyaris maut ketika tinggal bersendirian di rumahnya di Jalan Bukit, Teroi, Gurun, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, mereka menerima laporan kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi setelah mangsa dikatakan meminta pertolongan daripada jiran untuk membawanya ke hospital.
Menurutnya, semasa kejadian, mangsa Jamaliah Ali, 55, tinggal seorang diri di rumah berkenaan setelah adiknya yang tinggal bersama keluar menghantar anak ke sekolah sebelum ke tempat kerja.
“Jiran mangsa hanya menyedari kejadian berlaku setelah mangsa yang cedera parah itu datang ke rumahnya untuk meminta pertolongan supaya segera dihantar ke hospital.
“Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, leher dikelar seperti disembelih hampir lapan sentimeter menggunakan senjata tajam dipercayai parang dikejarkan ke Hospital Yan sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini, semalam.
Ismail berkata, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan rumah mangsa digeledah dan mangsa berkemungkinan disembelih di ruang tamu bersebelahan bilik mangsa berdasarkan kesan darah di lantai.
“Bagaimanapun tidak ada barangan mangsa yang hilang serta senjata digunakan turut tidak ditemui.
“Mengikut maklumat yang diperoleh jiran, mangsa berkemungkinan mengenali suspek kerana sewaktu meminta tolong mangsa seperti menyebut nama seseorang namun tidak jelas kerana kecederaannya serius,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.
“Kita juga ingin meminta kerjasama daripada jiran mangsa atau orang ramai mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil memberi maklumat kepada polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, mangsa yang masih belum sedarkan diri dilaporkan stabil serta masih menerima rawatan lanjut di hospital.
No comments:
Post a Comment