KUANTAN: “Hampir menitis air mata saya melihat mayat bayi tidak berdosa itu terperosok dalam lubang tandas, tapi demi tanggungjawab, saya dan tujuh rakan yang lain kuatkan juga semangat untuk menjalankan tugas.”
Demikian, kata seorang daripada anggota bomba ditugaskan mengeluarkan mayat bayi baru lahir yang tersumbat dalam lubang tandas Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Adli, 40-an, berkata, dia dan rakan-rakan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas bagi mengeluarkan mayat bayi itu, bermula jam 8 pagi.
“Sebaik saja melihat separuh kepala bayi itu terperosok dalam lubang tandas, kami sedar tiada cara lain untuk mengeluarkannya kecuali memecahkan mangkuk tandas itu dengan berhati-hati kerana bimbang ia mencacatkan tubuh bayi berkenaan.
“Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas itu perlahan-lahan. Kami bergilir-gilir melakukannya. Ketika itu juga hati saya bercampur baur antara sedih dan geram dengan manusia yang membuang bayi itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment