GELARAN ‘Sultan berjiwa rakyat’ begitu sinonim dengan baginda yang merupakan Sultan Kelantan ke-29, walaupun diputerakan sebagai anak raja namun jiwa tersebut sudah wujud sejak azali menyebabkan baginda disenangi semua golongan.
Merupakan putera sulung Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis Almarhum Tengku Abdul Hamid, baginda yang diberi nama Tengku Muhammad Faris Petra, berkenan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V sebaik dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Oktober 2010.
Difahamkan, pemilihan gelaran tersebut sebagai kesinambungan kepada sejarah salasilah negeri Kelantan apabila sultan terakhir menggunakan gelaran Sultan Muhammad IV, berkebetulan pula dengan nama baginda Muhammad, menyebabkan gelaran tersebut menjadi pilihan pertamanya.
Baginda yang begitu disanjung tidak kekok untuk menjalankan aktiviti bersama rakyat, malah baginya melakukan perkara disukai tanpa mengira pangkat dan darjat akan lebih memberi kepuasan.
Sikap baginda yang tidak pernah berkira untuk membantu rakyat dalam kesusahan dan kesempitan, ditimpa musibah serta berdepan masalah kesihatan juga boleh menjadi contoh terbaik kepada masyarakat.
Tubuh Yayasan Sultan Kelantan
Sikap terpuji itu turut diadaptasikan dengan penubuhan Yayasan Sultan Kelantan, bertujuan untuk mengetengahkan penjagaan kebajikan, pendidikan dan keagamaan rakyat negeri ini.
Tidak mustahil jika baginda mempunyai tempat yang begitu istimewa di hati rakyat tanpa mengira usia, dan latar belakang, malah kehadiran dalam masyarakat sentiasa ditunggu-tunggu walaupun sekadar kunjungan ringkas.
Seorang yang ringkas dalam penampilan apabila lebih selesa mengenakan jubah atau berbaju Melayu serta berkain pelekat dan berkopiah putih ketika melawat rakyat, selain sentiasa mempamerkan wajah yang manis membuatkan ramai menyenanginya walaupun sedar ada jurang antara mereka.
Meminati sukan lasak seperti ekspedisi pacuan empat roda, sukan berkuda, go-kart, menembak, memanah, memainkan bola sepak dan memburu, Sultan Muhammad V juga disifatkan seorang yang sangat pemalu walaupun kini memegang tampuk utama pemerintahan beraja di Kelantan.
Baginda yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I di sini, sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.
Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England, sehingga 1989, seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St.Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.
'Ambo' bukan 'beta'
Dalam perbualannya bersama rakyat, baginda yang juga Timbalan Yang Dipertuan Agong, gemar membahasakan diri sebagai ‘ambo’, bukan ‘beta’ sebagaimana sultan-sultan lain, membuatkan ramai yang selesa dengan kerendahan hati dimiliki.
Malah jurang darjat yang wujud antara baginda dan rakyat juga dilihat bukan satu perbezaan yang ketara dan tidak menjadi alasan bagi baginda untuk mendekati rakyatnya dengan mudah.
Lebih membanggakan, baginda merupakan satu-satunya sultan yang menukar perkataan ‘Daulat Tuanku’ kepada ‘Allahuakbar’, kerana menurutnya, biarlah mereka yang mengungkapkan perkataan itu mendapat pahala.
Bercakap mengenai prinsip yang dipegang, bagi penaung Persatuan Bulan Sabit Merah, sebagai pemerintah baginda perlu aktif membuat tinjauan kerana berpendapat hanya melaluinya baginda akan mendapat gambaran sebenar (keadaan di bawah) sekali gus mengambil tindakan sewajarnya.
Selain terlibat dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan, baginda juga merupakan Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral (Kehormat), selain begitu aktif memainkan peranan dalam organisasi berkait keselamatan dan ketenteraan.
Kekanda kepada Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Tengku Muhammad Fakhry Petra, dan Tengku Amalin ‘A-Ishah Puteri juga merupakan Kolonel Yang Dipertua Rejimen Artileri Diraja.
Antara darjah kebesaran yang dimiliki termasuk Darjah Kerabat (DK) dari Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Perlis, selain menerima darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi 1) (SPMK) dan Seri Paduka Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia) (Al-Ismaili 1)(SJMK).
No comments:
Post a Comment