Rasulullah bersabda, Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan suci dan bersih. Kedua- dua ibubapalah yang menentukan menjadi Yahudi, Kristian dan Majusi(Riwayat: Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas ibu bapa menjadi isu utama dalam mencorak dan menentukan sama ada anak itu berpotensi menjadi baik atau sebaliknya. Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat sebahagian ibu bapa yang bersungguh-sungguh membimbing anak dan keluarga mereka ke arah menjadi manusia yang berguna tetapi tidak mencapai matlamatnya.
Al-Quran dan Hadis menjadi rujukan dan panduan yang baik bagi menganalisis mengapa terdapat manusia bertindak liar, kejam dan jahat. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya Allah Taala itu baik, Dia tiada akan menerima melainkan yang baik saja. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kaum mukminin sama sebagaimana Dia memerintahkan para Rasul”.
Dari Abu Hurairah r.a katanya, :Rasulullah SAW bersabda:
“Hai manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.
Firman-Nya:
“Wahai para rasul, Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (al-Mukminun:51)
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu…”(al-Baqarah:172)
Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadah tangannya ke langit dan berdoa:”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! “. Padahal makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diasuh dengan makanan yang haram. Maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya.”
(Riwayat: Muslim).
Berdasarkan dalil di atas jelas bahawa pemakanan halal dan baik akan bertindak sebagai motivasi kepada manusia untuk melakukan perbuatan yang selari dengan perintah Allah. Oleh sebab itu Allah memerintahkan Rasul, Nabi dan umat masing-masing membiasakan diri dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan pemakanan yang halal dan baik.
Makanan dan minuman yang halal dan baik itu menjadi punca kebersihan akal, jiwa dan batang tubuh manusia. Mereka yang membesar dan berkembang dengan sumber makanan halal dan baik akan mendorong mereka lebih berhati-hati jangan sampai terlanjur melakukan perbuatan budaya berdosa. Jika terlanjur pun dia akan segera menyesali dan bertaubat nasuha. Begitulah hebat dan mujarabnya kesan makanan halal kepada akal, jiwa dan fizikal manusia.
Dengan demikian mereka yang membiasakan diri dengan rezeki halal kuat beribadah dan menjalankan perintah Allah dengan tekun. Mereka lebih yakin dengan kehidupan kerana memperoleh ketenangan dan kedamaian selari dengan keistimewaan makanan halal yang dijamin Allah.
Manakala sumber makanan haram atau bercampur aduk antara halal dan haram sudah pasti merosakkan akal dan jiwa. Mereka senang digegarkan oleh hawa nafsu dan hasutan syaitan. Mereka lupa bahawa sesuap rezeki yang haram memasuki tubuh manusia akan menjadi darah daging di dalam tubuhnya dan akan kekal di situ buat selama-lamanya. Semakin dilalaikan semakin banyaklah yang haram meneroka ke dalam tubuh badan dan menjalar merosakkan fungsi akal dan jiwa.
Oleh sebab itu dia tidak boleh lagi membezakan perkara baik dan buruk, malah cenderung melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah. Dengan lain-lain perkataan akal dan jiwa itu telah digilap oleh persatuan dan susila yang salah. Malah perbuatannya mirip kepada habitat binatang dan syaitan seperti bersifat ganas, samseng dan tidak bersifat kemanusiaan. Oleh sebab itu Allah tidak menerima doa daripada mereka yang bersifat demikian.
Apa yang nyata mereka yang mempunyai akal dan jiwa tercemar sentiasa berada dalam keadaan cemas, gelisah dan hidup sentiasa tertekan kerana sumber motivasi hidupnya berada di laluan yang salah dan gagal memenuhi piawaian fitrah penciptaan manusia.
Jika tekanan hidup ini berterusan, maka ia akan menjejaskan dan memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti mengalami pelbagai penyakit kronik yang sukar diubati.
Kajian perubatan telah mengesahkan bahawa tekanan hidup yang berterusan menjejaskan kesejahteraan manusia. Berdasarkan pemerhatian terdapat perkaitan yang kuat bahawa sumber rezeki mempengaruhi akhlak manusia.
Oleh itu untuk kebaikan zuriat, keluarga dan survival akhlak keturunan, maka ibu bapa dan umat Islam seluruhnya hendaklah memastikan sumber rezeki harian itu adalah halal.
Dalam Ihya ‘Ulumuddin karya Imam al-Ghazali tentang kesan makanan yang haram kepada zuriat iaitu anak-anak :
“Jika kita ingin anak kita menjadi soleh, bijaksana dan berguna, berikanlah iamakanan daripada rezeki yang halal sejak mereka dilahirkan. Makanan yang halal selain daripada menjadikan anak kita berguna, boleh menjadikan mental mereka cerdas dan pintar. Sebaliknya anak akan menjadi derhaka terhadap kita jika ia diberi makanan yang kotor”
Pentingnya memberikan makanan yang betul-betul halal untuk zuriat kita kerana itu akan menjadi darah daging mereka. Inilah peranan ibubapa yang sebenarnya kerana tanggungjawab ini terpikul di atas bahu-bahu kita yang bergelar ibubapa. Kekadang kita mengambil mudah perkara ini, tetapi perkara inilah yang sebenarnya akan membentuk anak-anak kita nanti.
Islam cukup syumul kerana mengajar kita dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Begitu juga soal makan amat dititikberatkan di dalam Islam sebagaimana dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Ahmad, Nasai’e, dan Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bejana atau bekas yang lebih jahat (hina) melainkan memenuhkan perutnya. Sekiranya ia (makan) memadai dengan suapan yang kecil yang mampu mendirikan (menguatkan) tulang sulbinya (tulang belakangnya). Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga untuk makanan, sepertiga minuman, dan sepertiga nafasnya.”
Sekiranya umat Islam kembali kepada gaya pemakanan dan adab-adab makan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, maka zat makanan tadi menyumbang kepada ibadah, menyihatkan badan, dan memberi kepintaran kepada akal. Antara adab dan gaya pemakanan tersebut adalah sepertiga dengan makanan, sepertiga dengan air, dan sepertiga lagi untuk bernafas. Dibimbangi jika kita tidak menjaga adab-adab ini, akan menyukarkan kita bernafas, lemah daya fikir, dan mendatangkan mudarat pada diri kerana berjaga-jaga dalam pemakanan adalah ibu segala ubat, dan banyak makan itu ibu segala penyakit.
Kita perlu makan! Bukan bermakna menjaga makan kita langsung tidak makan, tetapi harus berhati-hati dengan makanan yang kita pilih. Kita perlu titikberatkan status halal makanan kita kerana ia akan menjadi darah yang mengalir 24 jam dalam badan kita dan menjadi daging yang melekat di tulang-tulang kita yang sentiasa bersama kita dan sebati dengan diri kita. Makanan juga akan membentuk akhlak kita. Makanan-makanan yang tidak halal dan kotor akan merosakkan akhlak kita maka akan muncul lah gejala-gejala sosial yang tidak tergambar di fikiran kita akan berlaku.
Dipetik dari : http://lukisanduniaku.wordpress.com
No comments:
Post a Comment