Seorang anggota tentera terbunuh manakala dua
orang awam cedera selepas seorang anggota tentera dipercayai melepaskan
beberapa das tembakan untuk meleraikan kekecohan di depan kedai
Gemilang 24 Jam di kawasan Pekan Lahad Datu, awal hari ini.Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata dalam kejadian
kira-kira 4.45 pagi itu, anggota tentera berkenaan, Lans Koperal
Muhamad Fiffixezapey Mat Hussin, 28, cedera di kiri dadanya dan
meninggal dunia di Hospital Lahad Datu.
Kedua-dua orang awam yang cedera adalah lelaki warganegara
Indonesia masing-masing berumur 31 dan 38 tahun, yang bekerja sebagai
penjaga kelab malam.
Hamza berkata, seorang daripada mereka cedera di betis kiri
manakala seorang lagi cedera di bahagian belakang sebelah kiri badan.
Butiran lengkap berkaitan kedua-dua mangsa orang awam itu belum
diperoleh dan mereka masih menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Katanya, ketika kejadian, anggota tentera yang melepaskan tembakan
itu sedang menjalankan tugas rondaan di kawasan berkenaan dan siasatan
di tempat kejadian menjumpai beberapa kelongsong peluru dan kesan
tompokan darah.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang berusaha mengesahkan anggota tentera yang terlibat.
"Tangkapan akan dibuat dan senjata yang digunakan akan dirampas," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bertenang kerana
keadaan keselamatan adalah terkawal manakala kes itu pula
diklasifikasikan sebagai kes jenayah dan tidak melibatkan penjenayah
luar. – Bernama, 28 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment