Sekitar Pertemuan DPPNK Dengan Mufti Kelantan
"Kenyataan saya tidak dilaporkan sepenuhnya," kata Yang Berhormat Sohibus Samahah Dato Haji Mohamad Shukri bin Mohamad, Mufti Negeri Kelantan sewaktu ditanya tentang kenyataannya di muka hadapan Sinar Harian kelmarin.
Demikianlah antara lain kesimpulan yang dapat dibuat apabila Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) mengadakan pertemuan dengan beliau di Pejabat Mufti Kelantan petang ini. Saya selaku Ketua DPPNK bersama Ustaz Hafiz Musa (Timbalan Ketua DPPNK), Ustaz Borhanuddin Ahmad (Setiausaha DPPNK), Cikgu Mohd Ariff Abdullah (Penolong Setiausaha DPPNK), Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi (Ketua Penerangan DPPNK), Dr Rosli Alaini (Bendahari DPPNK) dan YB Ustaz Ahmad Marzuk Shaary (Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam DPPNK merangkap Ahli Parlimen Bachok) hari ini meluangkan masa untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Mufti Kelantan setelah beliau dilaporkan menyokong kenyataan Mufti Perak berkaitan dengan isu Bughah.
Hakikatnya, sudah lama kami merancang untuk melakukan kunjungan seperti ini. Ia sewajarnya bermula dengan kunjungan pimpinan DPPNK ke pejabat Menteri Besar dan Exco-exco kerajaan Negeri Kelantan namun dikekang oleh masa dan jadual yang agak padat, aktiviti ziarah seperti ini selalu sahaja tertangguh.
Alhamdulillah, isu yang berlaku mempercepatkan langkah kaki ke pejabat Mufti. Kami disambut oleh Ustaz Saibon Ismail, Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti dan pertemuan turut sama disertai oleh Yang Berhormat sohibul Fadhilah Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad, Timbalan Mufti Negeri Kelantan.
Banyak isu-isu sampingan yang disentuh. Paling mengejutkan apabila Mufti menyatakan bahawa pejabatnya sangat jarang dikunjungi oleh pimpinan kerajaan dan politik. Kadang-kadang ini menjadikan Pejabat Mufti lengang dan sunyi. Bahkan menurut beliau, kunjungan untuk mendapatkan penerangan berkaitan isu semasa seperti hari ini adalah kali yang kedua semenjak beliau berkhidmat di Pejabat Mufti Kelantan bermula pada tahun 1990 sebagai Timbalan Mufti pada masa itu. Kunjungan pertama katanya dari pihak persendirian.
Rasa saya, beliau barangkali terlupa bahawa Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan melalui Markaz Siswazah Kelantan (MSK) pernah mengunjungi pejabat Mufti Kelantan pada tahun 2002 untuk menghantar memorandum berkaitan isu perarakan burung petalawati pada masa itu. Presiden MSK pada masa tersebut ialah saudara Zamakhshari Muhammad manakala Mufti Kelantan ialah Almarhum Dato’ Haji Hasbullah bin Mohammad Hassan. Saya masih ingat kerana saya turut sama hadir selaku Presiden Persatuan Mahasiswa KIAS (PMKIAS) pada masa itu dan Dato Shukri juga ada bersama selaku Timbalan Mufti.
Berkaitan dengan isu Bughah, menurut Dato Mufti, beliau hanya menjawab melalui telefon apabila dihubungi oleh wartawan. Beliau menyatakan setuju jika bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk menggugat kerajaan dan mengancam keamanan tidak dibenarkan. Namun di dalam masa yang sama, beliau turut menyatakan TIDAK SETUJU terhadap sikap mengaitkan peserta Himpunan TURUN sebagai 'bughah' kerana himpunan tersebut berlangsung dengan aman dan tenteram tanpa sebarang kekacauan. Menyedihkan kata, ini tidak dilaporkan oleh akhbar.
Lebih menarik apabila beliau menyatakan bahawa tindakan membawa masuk isu bughah adalah sangat tidak tepat kerana jikapun benar peserta Himpunan TURUN itu adalah bughah, di bawah undang-undang mana mereka mahu dihukum sedangkan bughah itu sendiri wujud di bawah undang-undang syariah yang tidak dipraktikkan di negara ini. Ia umpama bertengkar tentang nama anak sedangkan perkahwinan pun belum masih dilangsungkan!
Justeru katanya, jika ingin bercakap tentang bughah, laksanakan hudud terlebih dahulu!
Bagi kami DPPNK, kami berpuas hati dengan penjelasan Dato Mufti. Cuma di dalam masa yang sama saya sendiri menyuarakan pandangan agar kenyataan beliau hendaklah ditulis secara bertulis dan rasmi. Sekiranya ia dilaporkan dalam keadaan yang tidak diingini, jawapan balas perlu segera dikemukakan.
Saya juga menyatakan bahawa Himpunan TURUN adalah berasaskan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berhimpun dengan aman. Dan saya juga mengingatkan tentang keputusan-keputusan mahkamah sebelum ini dan yang paling terkini ialah dalam isu BERSIH 3.0 yang diputuskan oleh mahkamah sebagai bukan perhimpunan haram. Jelas dalam hal ini, pihak mahkamah yang mentafsirkan perlembagaan telah meletakkan kebebasan berhimpun sebagai hak rakyat dan tidak ditafsirkan sebagai menggugat keamanan.
Alhamdulillah, penjelasaan ini dibantu oleh sahabat-sahabat pimpinan DPPNK yang banyak memberikan input semasa pertemuan berlangsung saya kira banyak menjernihkan kekusutan yang timbul hasil dari laporan akhbar yang didakwa oleh Dato Mufti sebagai manipulasi. Pandangan saya kepada beliau dalam hal ini, kenyataan bertulis adalah lebih selamat dan baik kerana ia tidak terdedah kepada manipulasi.
Saya berterima kasih banyak kepada Pejabat Mufti Kelantan yang sudi menerima kehadiran kami. Tahniah kepada Setiausaha DPPNK, Ustaz Bob (Burhanuddin Ahmad) yang telah menyusun pertemuan ini dengan begitu cemerlang. Di pihak DPPNK, laporan polis ke atas Mufti Perak telah dibuat di seluruh negeri dan pihak kami menanti hasil siasatan isu bughah dan halal darah ini.
5.10 pm
8 Januari 2014
DARI FB TGNA
No comments:
Post a Comment