Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Wahai Muhammad, ingatlah ketika datang pertolongan Allah dan kemenangan bagimu. Engkau menyaksikan manusia masuk Islam berbondong-bondong. Wahai Muhammad, karena itu bertasbihlah kamu untuk menyatakan syukur kepada Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sungguh Tuhanmu sangat lapang dalam memberikan ampunan kepadamu.” (An Nashr, 110: 1-3)

KAWE_KAWE AMBO

Friday 23 September 2011

APA ITU PERGURUAN SENI TAPAK SUCI

Sejarah Tapak Suci adalah sebuah aliran seni mempertahankan diri yang berasal dari Pulau Jawa, Indonesia. Ia merupakan pusaka warisan Wali Songo (Sembilan Wali) yang terkenal dalam sejarah penyebaran Islam di Nusantara. (Kisah Wali Songo, insya-Allah akan saya
paparkan dalam tulisan yang lain). Para Wali Songo telah mewariskan berbagai bentuk ilmu dan amalan hikmat yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi hingga sampai ke zaman ini. Seni Tapak Suci adalah salah satu amalan ampuh yang telah diwariskan oleh mereka. Sesuai dengan latar belakang ini, maka aliran silat ini dinamakan Perguruan Seni Tapak Suci (P.S.T.S.)


Perguruan Seni Tapak Suci muncul di Geylang, Singapura dalam tahun 60an melalui dua orang adik-beradik yang dikenali dengan panggilan Pak atau Pak Cik Aswan dan Pak Cik Moin. Kedua-dua beradik ini adalah Pengasas dan Guru Tua kepada Seni Tapak Suci. Menurut cerita Guru Utama , Pak Aswan telah memperolehi amalan Seni Tapak Suci melalui mimpi. Bagi memuaskan hati, beliau telah membuat penyelidikan tentang aliran ini hingga ke Tanah Jawa. Di sana beliau menemui 'akar' Seni Tapak Suci dan mendapat kepastian tentang kesahihannya. Setelah berpuas hati beliau kembali ke Singapura dan bersama-sama abangnya Pak Moin, mereka telah menyebarkan Seni Tapak Suci di negara tersebut. Penyebaran aliran silat ini tidak terhenti di Singapura bahkan telah melintasi Selat Tebrau hingga ke negeri Pahang. Dari sini, Guru Utama yang menerima ijazah dan amanah secara langsung dari kedua-dua Guru Tua tadi telah membawa Seni Tapak Suci ke Kelantan.

Pada awal tahun 70an, bagi memenuhi amanah Guru Tua, Guru Utama telah mengambil tiga orang murid sebagai pewaris di gelanggang pertama Seni Tapak Suci iaitu di Sungai Baru, Pengkalan Chepa. Dua daripada tiga murid ini berhenti separuh jalan. Hanya Yaakob (Abe Kob) yang kekal sebagai pewaris. Abe Kob merupakan jurulatih pertama Seni Tapak Suci yang membimbing murid-murid baru di Kelantan. Bermula dari sini Seni Tapak Suci mengembangkan sayap di seluruh negeri dengan kemunculan gelanggang-gelanggang baru di Kubor Maras, Langgar, Kok Pasir, Tanjong Mas, Padang Bongor, Gunong-Bachok, Panchor, Pulau Belanga, dan Sering. Kemunculan Seni Tapak Suci merupakan satu 'ledakan' pada waktu itu. Gelanggangnya menjadi tumpuan dan ratusan orang telah diterima sebagai pewaris aliran silat ini.

Para pewaris lapis pertama ini telah menjalani Majlis Khatam (Penamat) yang diadakan secara meriah di setiap gelanggang di seluruh Negeri Kelantan dalan tahun 1976. Majlis Khatam ini telah disempurnakan oleh Pak Moin yang datang secara khusus dari Singapura. Alhamdulillah saya merupakan salah seorang pewaris yang melalui upacara khatam ini pada tangan Pak Moin sendiri.

Setelah Majlis Khatam disempurnakan, Seni Tapak Suci terus mendapat sambutan hangat dari masyarakat. Memandangkan keadaan ini dan bagi membantu Guru Utama menyebarkan silat ini, dengan persetujuan kedua-dua Guru Tua, beberapa orang wakil guru telah dilantik. Antara wakil guru pada lapis ini ialah Abe Kar (Kubor Maras), Abe Min dan Abe Ya (Kok Pasir), Wan Daud dan Wan Yusof (Padang Bongor), Ustaz Shukri dan Penghulu Othman (Panchor). Dengan perlantikan wakil-wakil guru, Seni Tapak Suci memasuki lapis kedua dalam perkembangannya.

Tempoh lapis kedua ini menyaksikan perkembangan pesat Seni Tapak Suci dengan kemunculan beberapa gelanggang baru seperti Wakaf Baru dan Ketereh. Pada lapis ini ramai anak-anak muda terutama para pelajar diterima sebagai pewaris aliran ini. Keadaan ini berbeza dengan lapis pertama yang mana majoriti pewaris terdiri dari kalangan dewasa. Gelanggang yang paling aktif dan memainkan perasan besar dalam penyebaran Seni Tapak Suci pada lapis ini ialah Kok Pasir dan Padang Bongor (yang lebih dikenali sebagai Taman Koperatif, Tanjong Chat).

Walaubagaimanapun, kerana masalah peribadi, pada awal tahun 80an, Abe Min Kok Pasir telah meninggalkan Perguruan Seni Tapak Suci dan memperkenalkan aliran sendiri yang diberi nama Zulfatah. Aliran Zulfatah pada asasnya adalah Seni Tapak Suci yang telah ditokok tambah pada segi amalan dan gerakan jurus. Gelanggang Kok Pasir bertukar menjadi gelanggang utama Zulfatah. Setelah kematian Abe Min, gelanggang utama Zulfatah berpindah ke Chicha, Kubang Kerian. Gelanggang ini dikendalikan oleh Kamarulzaini, salah seorang murid kanan Abe Min. Kamarulzaini pada asalnya adalah pewaris Seni Tapak Suci yang menerima amalan ini daripada Abe Kar Kubor Maras.

Kemunculan Silat Zulfatah telah mencetuskan ketegangan antara Kok Pasir dan gelanggang-gelanggang lain, terutama Padang Bongor. Kecewa dengan pergolakan-pergolakan yang berlaku, Guru Utama telah mengundurkan diri dari dunia persilatan dan tidak lagi menerima pewaris baru secara terbuka. (Dalam suasana inilah saya menerima ijazah daripada Guru Utama sebagai wakil guru. Saya telah diberi amanah oleh beliau supaya 'menjaga' Seni Tapak Suci di Kelantan).

Catatan saya terhenti setakat ini kerana dalam tempoh pertengahan 80an dan awal 90an saya melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Dalam tempoh ini maklumat tentang Seni Tapak Suci yang ada pada saya amat terhad. Saya mohon bantuan dan kerjasama para pewaris untuk melengkapkan catatan sejarah dalam tempoh tersebut.

Insya-Allah dalam catatan seterusnya saya akan memperkenalkan Guru Utama Perguruan Seni Tapak Suci di Kelantan untuk pengetahuan adik-adik seperguruan sekalian.source

 JIKA BERMINAT


                             

No comments:

Search This Blog

Archives

PING BUSUK

APESAL TENGOK JER...